fbpx

Ibu sumber inspirasi kejayaan Nazrin Shahnaz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wanita berasal dari Alor Setar, Kedah ini berjaya membangunkan sebuah syarikat rekaan dalaman.

MENGURUSKAN perniagaan keluarga bukanlah satu perkara mudah, lebih-lebih lagi apabila diberi kepercayaan untuk mengembangkan legasi yang telah dibina sejak bertahun lamanya.

Bagi pengasas Shahnaz Healthcare, Nazrin Shahnaz Peer Mohamed, setiap tanggungjawab perlu dilunaskan dengan sebaiknya biarpun dia mempunyai cita-cita bergelar doktor sebelum ini.

Katanya, dia terpaksa melupakan impian tersebut demi meneruskan harapan ibu tercinta yang juga merupakan rakan kongsi perniagaan mereka.

“Sejak kecil lagi, saya dibesarkan dan didedahkan dengan dunia perniagaan. Habis sahaja sekolah terus pergi pejabat.

“Ibu mempunyai perniagaan sendiri iaitu periklanan dan pemasaran di Alor Setar, Kedah.

“Ini secara tidak langsung memberi pengalaman dan pendedahan kepada saya untuk belajar mengenai selok-belok perniagaan.

“Dulu, saya pernah anggap perniagaan sangat susah. Saya sebenarnya bercita-cita ingin menjadi seorang doktor.

“Namun, apabila difikirkan semula, saya kena juga uruskan perniagaan keluarga yang telah lama dibina dengan susah payah.

“Mahu atau tidak, saya perlu teruskan,” katanya memulakan bicara bersama Aura.

NAZRIN SHAHNAZ

Katanya, titik tolak dia melibatkan diri secara rasmi dalam perniagaan adalah selepas tamat pengajian di universiti iaitu hampir sedekad lalu.

“Setelah tamat pengajian di universiti, saya terus menceburkan diri dalam bidang perniagaan untuk menimba pengalaman.

“Daripada perniagaan perkhidmatan periklanan, kami membuka pula syarikat baharu yang berkonsepkan reka bentuk dalaman.

“Idea ini tercetus selepas kami melaksanakan projek-projek grafik yang mempunyai kaitan dengan rekaan dalaman (interior designer).

“Contoh rekaan dalaman yang ‘trending’ ketika itu adalah pejabat AirAsia dan Google yang membawa konsep identiti korporat.

“Pelangan-pelangan kami mahukan konsep seumpama itu.

“Dari situlah tercetusnya idea membuka syarikat baharu,” tuturnya.

Meneruskan lagi perkongsian, Nazrin Shahnaz berkata, pada 2019, dia mendapat tander membina sebuah hospital.

NAZRIN SHAHNAZ (kanan) bergambar bersama ibunya (duduk, tengah) dan adik-beradik yang lain.

Ujarnya, menerusi pengalaman tersebut, dia baru tahu betapa uniknya reka bentuk dalaman hospital, sekali gus membuatkannya jatuh hati dengan bidang tersebut.

“Ketika itu, apa yang saya lihat, tidak ramai yang menawarkan rekaan dalaman untuk kesihatan.

“Permintaan ada, arkitek pun ramai yang menghubungi saya meminta supaya saya memfokuskan kepada konsep sedemikian. Ini kerana, tidak ramai yang buat konsep berkenaan.

“Bertitik tolak dari itu, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam jurusan rekaan dalaman khusus untuk kesihatan.

“Setelah kembali ke syarikat, saya mempraktikkan ilmu yang diperoleh dengan menjadi konsultan dan kontraktor,” ujarnya.

Ditanya siapa sumber inspirasi dalam bidang perniagaan yang diceburi ketika ini, wanita berusia 31 tahun itu mengakui, tidak lain tidak bukan adalah ibunya.

“Ibu merupakan seorang yang sangat memahami apa yang dilalui oleh saya termasuk melihat perkembangan perniagaan ini.

“Itulah sedikit sebanyak peranan yang dimainkan oleh ibu. Sekiranya ada perkara-perkara yang saya terlepas pandang, ibu sentiasa ada untuk membantu.

“Setiap kali berbual dengan ibu, pasti ada benda yang ibu mahu saya nampak terkehadapan.

“Ini secara tidak langsung menjadikan saya seorang yang sentiasa bersemangat dan ingin maju ke depan.

“Saya juga seorang yang berani mencuba perkara baharu. Bagi saya, sokongan, doa dan restu ibu sangat penting hingga ke saat ini,” katanya.

Sebelum menutup bicara, dia menyeru golongan wanita di luar sana supaya tidak sesekali malu sekiranya berniat menjalankan bisnes.

Katanya, ini sekali gus membuktikan kekuatan dan keunikan wanita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI