fbpx

Skuad negara bergaya melangkah ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YEW SIN dan Ee Yi berjaya menyumbangkan mata kemenangan kepada Malaysia, sekali gus memberi keyakinan kepada rakan-rakan sepasukan bagi aksi suku akhir nanti.

SKUAD badminton negara meneruskan kemaraan ke suku ­akhir saingan Piala Sudirman 2023 selaku juara Kumpulan C selepas menewaskan Taiwan 4-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Suzhou, China, kedua-dua pasukan turun dengan harapan cukup tinggi selepas masing-masing mencatat dua kemenangan dalam aksi terdahulu.

Pemain beregu lelaki, Ong Yew Sin menyatakan rasa gembira apabila dia dan Teo Ee Yi menyumbang mata kemenangan pasukan di kala Malaysia sedang mendahului perlawanan dengan kedudukan 2-1.

“Rasa sangat gembira dan teruja pada perlawanan hari ini (semalam) dan berjaya sumbang mata kemenangan kepada Malaysia. Saya harap ia boleh beri keyakinan kepada rakan sepasukan untuk aksi suku ­akhir nanti.

“Kami hanya bermain mengikut perancangan yang dibuat, sebab itulah aksi di set pertama agak selesa. Bagaimanapun, pemain lawan ubah strategi di set kedua sehingga buatkan kami sedikit tertekan,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Pada perlawanan itu, Malaysia bermula dengan langkah kanan menerusi gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang berhempas pulas menewaskan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 17-21, 21-19, 21-17.

Rentak kemenangan itu dite­ruskan oleh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia apabila menang 21-14, 23-21 ke atas Chou Tien Chen sebelum Tai Tzu Ying merapatkan kedudukan 2-1 selepas menewaskan Goh Jin Wei 21-8, 21-10 dalam acara perseorangan wanita.

Kemudian, giliran Ee Yi-Yew Sin memastikan kemenangan milik Malaysia apabila menjadikan kedudukan 3-1 dengan menewaskan Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-8, 23-21 sebelum beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah melengkapkan kemenangan apabila menang 21-15, 19-21, 21-15 ke atas Hsu Ya Ching-Teng Chun Hsun.

Berakhirnya saingan Kumpulan C semalam, pasukan negara tidak akan turun dalam mana-mana perlawanan hari ini dan hanya kembali meneruskan misi pada aksi suku akhir esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI