fbpx
Sebahagian masyarakat Baba Nyonya, Chetti dan peranakan Portugis yang menyertai Festival Peranakan Malaysia 2023 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, Kuala Lumpur baru-baru ini. – FARIS RUSADIO

Peranakan simbol perpaduan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“Maka segala dagang atas angin dan bawah angin sekaliannya datang ke Melaka: terlalu ramai bandar Melaka pada zaman itu.”

Demikian petikan dalam naskhah Sulalatus Salatin yang menggambarkan suasana di Selat Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa sekitar kurun ke-15.

Sementara menunggu angin monsun berubah, sebahagian pedagang serta pelayar dari China dan India mengambil keputusan untuk bermastautin dengan mengahwini wanita Nusantara pada ketika itu.

Hasilnya, proses asimilasi berlaku secara semula jadi sehingga lahirnya keturunan peranakan iaitu Baba Nyonya dan Chetti yang menjadi sebahagian populasi warganegara Malaysia ketika ini.

Selain Baba Nyonya dan Chetti, satu lagi etnik hasil asimilasi zaman Kesultanan Melayu Melaka ialah Peranakan Portugis Melaka kesan penjajahan Portugis di Melaka pada 1511.

Bagi meraikan komuniti tersebut, buat julung kalinya, Festival Peranakan Malaysia 2023 dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia (Peranakan).

Festival yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, Kuala Lumpur pada 13 Mei lalu itu padat dengan aktiviti seperti dialog peranakan, Pertandingan Rencah Rasa, main wayang peranakan, persembahan dondang sayang dan joget serta jualan barangan peranakan.

Para pengunjung yang terdiri daripada masyarakat peranakan menari ketika persembahan dondang sayang.

Menurut Presiden Peranakan, Datuk Ronald Gan Yong Hoe, pemilihan tarikh 13 Mei yang sinonim dengan peristiwa berdarah melibatkan rusuhan antara kaum pada 1969 itu bukanlah satu kebetulan.

Katanya, pemilihan tersebut dibuat agar memori peristiwa hitam yang membuatkan masyarakat skeptikal terhadap kaum lain itu dapat dikikis.

“Saya belum lahir lagi ketika peristiwa itu berlaku.

“Namun, berdasarkan cerita orang tua-tua, tiada setitik pun darah masyarakat Baba Nyonya menitis pada masa itu.

“Bahkan, kaum Melayu pada ketika itu melindungi Baba Nyonya daripada diancam.

“Ini menyebabkan saya memilih tarikh 13 Mei sebagai Festival Peranakan Malaysia 2023.

“Kami (semua peranakan) adalah bukti perpaduan kaum telah lama wujud. Moyang kami sudah berasimilasi dengan budaya masyarakat Nusantara pada ketika itu,” katanya kepada K2.

Hubungan diplomatik antara Kesultanan Melayu Melaka dengan Dinasti Ming di China menggalakkan pedagang dari negara Tembok Besar itu berlabuh di Selat Melaka.

Semua pedagang terdiri daripada kaum lelaki kerana kaum wanita pada ketika itu bukan sahaja tidak dibenarkan bergaul bebas, malah mengamalkan amalan pengikat kaki (foot binding).

Tambah Ronald, ia membuktikan keturunan Baba Nyonya memiliki darah Nusantara hasil perkahwinan campur, sekali gus membezakan mereka dengan masyarakat Cina Sin Kek (Cina majoriti).

RONALD

“Proses asimilasi semula jadi antara moyang China dan moyang Nusantara kami menghasilkan budaya serta bahasa Baba Nyonya yang memiliki keunikan tersendiri.

“Kami juga masih mengamalkan ciri-ciri budaya masyarakat China asal. Di sana, budaya itu telah hilang susulan revolusi kebudayaan yang berlaku pada 1966,” ujarnya lagi.

Berkongsi naratif sama berkenaan asal usul, Presiden Persatuan Kebudayaan Chetti Melaka, Shanmugam Raja mendedahkan bahawa saudagar dari India datang membawa ‘satu kampung’.

Justeru katanya, setiap keturunan Chetti memiliki nama keluarga yang mewakili peranan moyang mereka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

“Antara nama keluarga kami ialah Chitty, Pillay (keturunan pedagang), Rajah, Mudaliar (penjaga keamanan), Pathiar (tukang emas), Padhiachi (ketua kampung), Pandaram (sami) dan Konar (pengembala).

“Sultan pada ketika itu mengurniakan perkampungan kepada kami yang diberi nama Kampung Kling (sekarang Jalan Tukang Emas),” ujarnya yang berketurunan Rajah.

Gelaran Kapitan yang sering dikaitkan dengan bangunan seperti masjid pula bermaksud ketua yang dilantik sultan untuk menguruskan saudagar dari luar Melaka.

Tambah Shanmungam, pengaruh Nusantara lebih ketara berbanding India dalam amalan budaya masyarakat Chetti kerana anak-anak banyak dibentuk oleh kaum ibu.

“Tarikh perayaan kami sama seperti masyarakat India kerana kami beragama Hindu, cuma acara merayakannya memiliki perbezaan.

“Bunga rampai yang banyak digunakan dalam budaya Melayu merupakan elemen penting yang digunakan pada majlis keagamaan, majlis tukar cincin dan majlis perkahwinan kami,” jelasnya.

SEBAHAGIAN babak menarik ketika pesembahan teater Baba Nyonya.

Berbeza dengan Baba Nyonya dan Chetti, Peranakan Portugis tidak memiliki persamaan dengan etnik lain di Malaysia.

Presiden Persatuan Penduduk Kampung Portugis Melaka, Marina Linda Danker berkata, hanya 118 rumah milik komuniti Portugis di Ujong Pasir, Melaka ketika ini.

“Moyang kami memang datang pada tahun 1511. Sewaktu sebahagian besar pulang semula ke Portugal setelah Melaka jatuh ke tangan Belanda, ada sesetengah yang tinggal dan bermastautin di sini.

“Kami tidak sama dengan masyarakat Portugal di Eropah ketika ini kerana kami masih berkomunikasi menggunakan bahasa lama yang dipanggil Kristang,” katanya.

Dedahnya, Perkampungan Portugis itu merupakan satu-satunya yang masih tinggal selepas beberapa kampung di Tengkera dan Bandar Hilir ditelan arus pembangunan moden.

“Tanah kami dipajak oleh kerajaan selama 99 tahun. Jadi, kami hanya boleh jual dalam kalangan orang Portugis.

“Menerusi cara ini, warisan komuniti kecil masih boleh akan terus terpelihara” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN