fbpx

Rumah kayu IBS pertama di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zahari (tengah) di rumah TimTecH yang terletak berhampiran pintu masuk utama PSA, Shah Alam.

SHAH ALAM – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya membangunkan projek Timber Technology House (TimTecH) iaitu rumah kayu berkonsepkan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, projek tersebut memfokuskan kepada proses pembelajaran sebenar bagi menyerlahkan bakat dan kemahiran pelajar dalam industri pembinaan terkini.

Katanya, ini berikutan rumah kayu berkonsepkan IBS adalah yang pertama di Malaysia bagi pengusaha industri perkayuan negara.

“Pelaksanaan projek TimTecH ini menyokong strategi utama memperkasakan Latihan Kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dalam mengubah konsep pendidikan tradisional daripada dari ‘train and place’ kepada ‘place and train’. Selain itu, memperkenalkan model pemilikan bersama antara kerajaan dan industri untuk gunasama peralatan, teknologi, kepakaran dan inovasi.

“Justeru, saya berharap lebih banyak industri tampil berkolaborasi bagi membangunkan teknologi terkini yang berkaitan dengan pembinaan seperti penggunaan tenaga solar dan aplikasi rumah pintar seiring Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0),” katanya di sini.

Projek TimTecH merupakan hasil kerjasama PSA dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB). Struktur utama binaannya telah siap dibina pada pertengahan tahun lalu dan akan dilengkapkan dengan teknologi IR4.0 secara berperingkat melalui latihan dan pembelajaran pelajar.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Zahari ketika ini terdapat lebih 18,000 industri yang berkolaborasi aktif dengan politeknik dan kolej komuniti.

“Saya menyeru agar kolaborasi strategik antara industri dengan politeknik dan kolej komuniti selaku pembekal terbesar TVET negara dapat diperkukuh bagi memacu agenda negara dalam melahirkan sumber tenaga berkemahiran dan berpendapatan tinggi seperti negara maju yang lain,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI