fbpx

Pas boleh berkawan dengan sesiapa sahaja – Abdul Hadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hadi

PETALING JAYA – Parti Pas tidak boleh dijadikan rumah tumpangan politik sementara waktu atau laksana bola yang boleh ditendang oleh pihak lain dengan mudah atau untuk berniaga politik dengan janji pangkat, harta dan takhta.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas juga boleh bekerjasama dengan semua pihak, tetapi tidak teragak-agak membatalkannya jika ada antara mereka melanggar nas, prinsip dan strategi yang diperjuangkan parti tersebut.

Dalam masa sama jelas Abdul Hadi, Pas juga bersikap terbuka dan bersempadan dalam menghadapi sebarang perubahan dari sudut pemikiran serta sikap manusia yang boleh berubah-ubah.

Kata Ahli Parlimen Marang itu lagi, parti tersebut mengadakan persefahaman dan kerjasama dengan pelbagai pihak berbeza ideologi serta akidah agama dalam keadaan dipantau dan dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Lajnah Politik.

Kata beliau, Pas juga dalam keadaan terkawal dan tidak pernah dapat dipermainkan semua pihak, dalam keadaan tetap berjaya dari sudut kerjasama serta hubungan tidak lemah apabila dibatalkan.

“Pendekatan kita tidak boleh disamakan dengan rakan parti Islam di negara Arab, utara Afrika, Turki, Asia Tengah, benua India dan lain-lain, walaupun mempunyai persamaan dasar, konsep serta hala tujunya.

“Ini kerana berbeza padang dan lapangan masyarakatnya yang wajib difahami oleh mereka bersama Pas atau yang memberi perhatian kepada Pas.

“Saya menegaskan perkara ini kepada rakan luar negara yang datang dan ditemui atau dalam negara sendiri yang cuba melakukan campur tangan dalam perkara tidak difahami mereka terhadap beberapa tindakan kita,” tulisnya dalam siri Minda Presiden di Facebook rasmi beliau hari ini.

Jelas Abdul Hadi, Pas mengadakan kerjasama dengan pihak lain adalah atas titik persamaan kemanusiaan dan keadilan kepada semua tanpa melanggar sempadan prinsip Islam serta konsep yang menjadi kewajipan parti.

Namun begitu katanya, apabila ada pihak melanggar dasar atau memaksa Pas keluar daripada landasan agama termasuk menegakkan negara Islam, parti itu tidak teragak-agak membatalkan kerjasama dan keluar dari pakatan politik tersebut.

“Sikap Pas tidak jumud tanpa perubahan apabila berlaku perubahan sikap dan keadaannya. Maka, ada parti yang berulang kali berhubung dan memutuskan hubungan dengan kita.

“Pas lebih mengutamakan sikap berkebajikan termasuk mereka yang pernah bermusuh, sedang bermusuh atau paling bermusuh kerana pendekatan itu menjadi salah satu cara untuk memperkenalkan Islam.

“Parti ini juga melaksanakan kewajipannya dengan penuh kesabaran tanpa menyimpan dendam apabila berada dalam kerajaan pusat dan ketika memerintah kerajaan negeri yang dapat disaksikan oleh ramai kalangan,” jelasnya lagi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI