fbpx

MAIS kesal kerajaan tarik balik rayuan penggunaan kalimah Allah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Aziz

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian di Mahkamah Rayuan, baru-baru ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, MAIS berpendirian bahawa kes tersebut bukan hanya berkaitan dengan isu pentadbiran dan keselamatan tetapi turut melibatkan perkara akidah orang Islam dan pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Raja sebagai Ketua Agama Negeri.

“Sebelum ini dalam kes rayuan tersebut, MAIS dan dua lagi Majlis Agama Islam Negeri telah dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan untuk hadir dalam kes rayuan ini sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).

“Walau bagaimanapun, MAIS merasa terkilan dan kesal dengan tindakan unilateral pihak kerajaan yang menarik balik rayuan ini tanpa berunding dengan pihak MAIS dan pihak-pihak lain yang terlibat yang mempunyai kepentingan dalam kes rayuan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Notis pemberhentian tersebut telah difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 18 April lalu.

Menurut Abdul Aziz, MAIS berpegang teguh dan menjunjung titah Sultan Selangor bertarikh 23 Mac 2021 yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian di negeri ini.

Beliau menjelaskan, dalam titah Sultan Selangor itu menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekali pun tetap dilarang penggunaannya di Selangor.

“Baginda berpendirian bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan tidak boleh digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

“Namun begitu, baginda tiada halangan sekiranya perkataan “Tuhan” digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “God” dalam apa-apa percetakan atau penerbitan berhubung dengan agama Kristian,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata beliau adalah menjadi kesalahan jenayah terhadap penggunaan kalimah ALlah oleh orang bukan Islam di Selangor mengikut Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang dikuatkuasa di negeri ini selain menyalahi fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Februari 2010.

“MAIS berpandangan bahawa demi kepentingan awam, proses rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah Allah ini wajar diteruskan bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi di negara ini memutuskan isu ini secara muktamad yang boleh menjadi panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu penggunaan kalimah Allah.

“Justeru, MAIS menyeru kepada semua pihak termasuk ahli politik untuk menghormati kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri serta mengambil kira dan merujuk kepada enakmen sedia ada sebelum membuat apa-apa dasar atau keputusan,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz menegaskan ini bagi memastikan dasar atau keputusan yang dibuat tidak mencabar kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri dan sejajar dengan kedudukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI