fbpx

Barang naik harga, bawa wang mencukupi ke Tanah Suci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JALAL (kanan) dan rakannya, Ibrahim Nasir bersedia menyambut pelanggan yang ingin membeli cenderamata di Mekah semalam.

MEKAH – Bakal jemaah haji Malaysia dinasihatkan supaya membawa bekalan kewangan yang mencukupi, di samping berjimat -cermat ekoran berlaku kenaikan harga pada hampir kesemua barangan di Tanah Suci ketika ini.

Tinjauan mendapati, harga barangan keperluan asas seperti sabun mandi, selipar, bercukur, syampu, jubah serta makanan mula naik dan akan melonjak lagi menjelang musim haji.
Sebuku sabun mandi dijual pada harga 3 Riyal (RM3.60), manakala set shawarma atau kebab ayam/daging berharga 20 Riyal (RM24).

Barangan cenderamata se­perti tasbih, jubah, sejadah diukir nama, cincin dan kayu sugi masih boleh didapati pada harga ‘rahmah’ jika pandai memilih dan tidak ‘termakan’ dengan mulut manis peniaga.

Masih ada kedai yang menetapkan 10 Riyal (RM12) untuk bercukur, tetapi ia akan melonjak sehingga 20 Riyal (RM24) pada musim haji.

Bagaimanapun, harga bagi pakaian seperti jubah dan rida (selendang) masih berharga antara 70 Riyal (RM84) hingga 100 Riyal (RM120), manakala tasbih koka berharga 200 Riyal (RM240). Ia masih boleh ditawar lagi sekiranya pandai berbahasa Arab.

Seorang pembantu jualan, Mufiz Mahmud Hussein, 55, berkata, harga jubah dan lain-lain bara­ngan di kedainya kekal sama pada ketika ini atau musim haji.

“Kita mahu menarik ramai pelanggan. Harga pakaian mengikut kualiti dan jenis kain. Kalau makanan mungkin ada yang mahal kerana ia melibatkan pelbagai kos bahan mentah,” katanya.
Penjual cenderamata, Jalal Yusef, 21, berkata, semua bara­ngan di kedainya dijual pada harga ‘rahmah’.

“Semua barangan 10 Riyal (RM 12) dan ia kekal sehingga musim haji,” katanya yang berasal dari Yemen.
Kenaikan berlaku ketika dan selepas dunia dilanda pandemik Covid-19 yang mana rata-rata peniaga menaikkan harga jualan di atas pelbagai alasan terutamanya harga mahal yang diambil daripada pembekal. Alasan yang sama digunakan oleh mana-mana peniaga.

Menyedari keadaan itu, Tabung Haji telah menyediakan mesin pengeluaran wang automatik dengan kolaborasi Bank Islam bagi kemudahan jemaah mengeluarkan duit sekiranya memerlukannya ketika berada di Tanah Suci.

Perkhidmatan pelanggan juga disediakan seperti kaun­ter penerangan berkaitan masalah hukum umrah dan haji, pertanyaan, kemudahan dobi, surau, bilik pantri, makanan dan lain-lain di kesemua hotel Tabung Haji di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI