fbpx

Ambil tindakan pihak cuai jaga pintu baraj, jejas bekalan air Kedah – Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan bot nelayan tersadai selepas paras Sungai Muda menyusut akibat kerosakan pintu baraj Sungai Muda.

ALOR SETAR – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim perlu mengambil tindakan ke atas pihak yang cuai dalam menguruskan kerosakan pintu baraj sehingga mengakibatkan bekalan air di tiga daerah di negeri ini serta sebahagian Pulau Pinang terjejas teruk.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri kesal dengan kejadian itu dan mahu pihak Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) yang menguruskan sungai serta pintu air di situ bertanggungjawab sepenuhnya atas kecuaian dilakukan.

“Saya ingin beri penjelasan bahawa PLSM ini adalah di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) iaitu di bawah Kementerian Sumber Asli, bukan kerajaan negeri.

“Jadi yang sering disalah faham dan dibina naratif ia adakah kegagalan kerajaan negeri untuk kawal selia baraj itu. Tetapi oleh kerana ia berada di negeri kita, jadi kita terima sebagai kecuaian di pihak PLSM,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Kata beliau, kementerian berkenaan perlu ambil tindakan ke atas pihak bertugas pada waktu kejadian atas kecuaian dilakukan.

“SADA (Syarikat Darul Aman Sdn. Bhd.) telah memaklumkan menerusi kumpulan WhatsApp yang mengendalikan paras air dan baraj itu pada pukul 10 malam tentang keadaan semasa paras air yang semakin menurun.

“Pada pukul 12 tengah malam, SADA maklum sekali lagi tentang paras air yang terus menurun, namun hanya pada pukul 7 pagi baru (pintu baraj) ditutup yang mana pintu air itu terbuka selama 11 jam,” ujarnya.

Katanya, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang turut menjaga baraj di Ampang Jajar, dekat sini memaklumkan paras sungai dan pintu air perlu diperiksa setiap dua jam serta direkodkan dalam buku manual.

“Jadi, kementerian kena ambil tindakan kepada kakitangannya. Ada pihak-pihak yang menuding jari kejadian ini kesalahan kerajaan negeri dan saya ingin betulkan bahawa tudingan jari itu salah, kamu kena tuding kepada Putrajaya kerana ia bawah tanggungjawab mereka,” katanya.

Kata beliau lagi, pintu baraj terdapat di sebelah Kedah dan Pulau Pinang dengan struktur pintu air di negeri berjiran itu tidak lagi dapat beroperasi.

“Saya ada baca Ketua Menteri Pulau Pinang yang beritahu kejadian berlaku di sebelah Kedah tetapi baraj ada di sebelah Kedah dan Pulau Pinang.

“Pintu air itu hanya boleh buka dan tutup sebelah Kedah, di Pulau Pinang langsung tidak beroperasi. Walaupun pintu sebelah kita ini ada masalah baru-baru ini, ia masih boleh beroperasi,” tambahnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan sebanyak 251,800 akaun di daerah Kuala Muda, Kulim dan Baling terjejas akibat penurunan paras Sungai Muda berikutan kerosakan pada pintu baraj. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI