PETALING JAYA – Seorang pekerja swasta mengakui dia sanggup membeli sijil cuti sakit (MC) palsu pada harga RM30 kerana tidak lagi tahan bekerja mengikut syif.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Fakrul, 24, berkata, dia berjinak-jinak membeli sijil cuti sakit bermula daripada pengaruh rakan dan menggunakan cuti tersebut sebulan sekali.
“Pada mulanya tak tahu pun wujud MC palsu, kawan yang cadangkan sebab lihat saya kepenatan kerana sering kerja lebih masa terutama ketika tidak cukup pekerja.
“Pembelian itu dibuat melalui orang tengah, kemudiannya kepada pembekal bagi memperoleh ‘tiket’ bercuti yang murah,” dedahnya kepada Kosmo!.
Fakrul yang bekerja dalam sektor perkhidmatan berkata, dia hanya perlu membayar RM30 kepada pihak pembekal dan memberikan maklumat untuk ditulis pada MC tersebut dengan memilih klinik atau hospital yang dapat menyakinkan syarikat.
“Kita pilih hospital yang mana dekat sahaja, baru nampak macam asli. Selepas itu kita akan dapat MC palsu dalam bentuk gambar dan softcopy melalui WhatApps untuk ditunjukkan kepada majikan.
“Perkara ini tak semua orang boleh tahu, sebab kalau tersebar susah kita, bukan tidak mahu bekerja, tetapi badan juga perlu rehat dan elakkan diri daripada tekanan mental,” ujarnya.
Bagaimanapun, dia kini tidak lagi membeli MC palsu.
Seorang lagi pekerja swasta di bahagian teknikal, berkongsi pengalaman hampir dibuang kerja selepas ‘kantoi’ menggunakan MC palsu bersama rakan sekerjanya.
Dia yang enggan dikenali berkata, tindakannya itu dihidu majikannya apabila pemeriksaan MC miliknya didapati tandatangan doktor pada sijil itu berlainan meskipun mempunyai nama klinik dan doktor yang sama dengan rakannya.
“Kami tak perasan pula kesalahan tandatangan itu sebab ambil daripada pembekal yang sama, selepas itu kami dipanggil dan pihak majikan menunjukkan e-mel daripada Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan sijil tersebut.
“E-mel daripada KKM mengesahkan MC kami adalah palsu, dan bukan itu sahaja, majikan kami turut membuat pemeriksaan semula MC terdahulu dan mendapati beberapa lagi individu ‘kantoi’ perkara yang sama,” katanya.
Jelas pemuda itu, dia akhirnya mengaku tindakannya kepada majikan dan bersyukur tidak dikenakan tindakan disiplin dan berjanji tidak mengulangi tindakannya itu.
“Rasa tidak berbaloi sebenarnya menggunakan MC palsu, masa cuti rasa tidak tenang sebab tahu itu perkara salah, saya sayang kerjaya ini, tetapi pada hari tersebut sangat terdesak untuk cuti kerana terlalu penat bekerja,” ujarnya.















