fbpx

Mahkamah: Clare dibicara adil tanpa campur tangan pihak istana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Clare (kiri), Sultanah Nur Zahirah (kanan).

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan berhujah Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown
tetap mendapat perbicaraan adil sekiranya kes itu dijalankan di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu dalam pertuduhan memfitnah Sultanah Nur Zahirah.

Semasa berhujah, Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman berkata, sepanjang proses pendakwaan, tidak pernah ada campur tangan daripada mana-mana pihak luar termasuk pihak istana sendiri (Terengganu) dalam kes ini.

“Pegawai mahkamah yang dilantik akan menjalankan tugas dengan adil dan saksama tidak kira sama ada ia melibatkan istana atau pemohon (Clare),” kata Noor Haslinda.

Berhujah lanjut, pendakwaan selaku responden itu turut menegaskan permohonan seperti yang dipohon Clare perlu ditolak kerana sebelum memfailkan permohonan pindahan kes untuk dibicarakan ke Mahkamah Tinggi, Clare perlu memastikan permohonan itu bermerit sebelum kes dipindahkan.

Sementara itu dalam isu lain, Noor Haslinda turut memaklumkan pihak berkuasa Malaysia melalui notis merah Interpol masih gagal menyampaikan waran tangkap oleh mahkamah ke atas pemohon walaupun dia telah didakwa secara in-absentia (tanpa kehadiran tertuduh) pada 23 September 2021.

Terdahulu semasa prosiding peguam Clare, Guok Ngek Seong berhujah bahawa permohonan anak guamnya untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah kebimbangan yang munasabah selain sikap pilih kasih mahkamah di Terengganu bagi bicara kes tersebut.

“Pemohon (Clare) tidak mempersoalkan integriti mahkamah rendah, tetapi dia mungkin bimbang tidak mendapat perbicaraan yang adil kerana Mahkamah Majistret berada di negeri yang sama laporan polis dibuat terhadapnya oleh pihak istana,” kata peguam itu.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy kemudian menetapkan 21 Jun ini bagi keputusan sama ada untuk membenarkan permohonan Clare dibenarkan ataupun tidak.

Pada 3 April lalu, Clare gagal buat kali kedua untuk membatalkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam surat tersebut antara lain menyatakan, AGC memutuskan terdapat keterangan yang mencukupi untuk mengekalkan pertuduhan terhadap Clare.

Pada 23 September 2021, Clare yang berasal dari United Kingdom itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara in-absentia atas pertuduhan itu.

Clare didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Pengarang Sarawak Report itu kemudian memfailkan permohonan untuk memindahkan kesnya daripada Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di sini (Kuala Lumpur) kerana mendakwa dirinya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil.

Ini kerana pengadu dalam kes jenayah terhadap dirinya adalah Sultanah Terengganu sendiri yang memfailkan saman terhadapnya.

Bagaimanapun, pada 12 Ogos 2022, Hakim Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan Clare untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan persoalan undang-undang berkaitan pertuduhan yang dihadapinya.

Beliau membuat keputusan tersebut selepas mendapati, pertuduhan jenayah terhadap Clare ‘masih dalam transit’ dan kes perlu dipindahkan secara rasmi sebelum permohonan itu diputuskan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI