fbpx

KPKT salur RM23 juta kepada 16 PBT seluruh Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOR MING (tengah) mendengar taklimat berhubung kerja naik taraf medan selera ketika melawat Anjung Selera Laman Tasik Pandan, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperuntukkan sebanyak RM23 juta kepada kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri ini.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu bertujuan membaik pulih dan menaik taraf pelbagai fasiliti disediakan PBT masing-masing untuk penduduk setempat.

Menurut beliau, peruntukan tersebut merupakan tambahan kepada RM21.7 juta yang diluluskan bagi projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur awam PBT di negeri ini, tahun lalu.

“Peruntukan RM23 juta yang diluluskan termasuk RM1.3 juta kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi menyelenggara dua lot perniagaan awam iaitu Anjung Selera Laman Tasik Pandan dan Gerai Jalan Biru adalah untuk menaik taraf pelbagai infrastruktur.

“Ini termasuklah unit gerai, tandas, bumbung, sistem perparitan, pemasangan perangkap minyak, sistem solar, perpaipan, pendawaian baharu, turapan jalan dan tempat letak kenderaan.

“Selain itu, KPKT turut memperuntuk RM8.5 juta bagi kerja-kerja menyelenggara 28 kolam takungan air di seluruh Johor bagi mengelakkan kejadian banjir kilat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Anjung Selera Laman Tasik Pandan, di sini hari ini.

Penyelenggaraan kolam takungan air itu melibatkan 10 buah kolam di Muar; Kota Tinggi (enam); Mersing (empat); Batu Pahat dan Kulai (dua) manakala masing-masing satu di Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pengerang.

Sementara itu, Kor Ming turut memberitahu, peruntukan sebanyak RM13.3 juta kepada 16 PBT akan digunakan bagi melaksana 35 projek naik taraf melibatkan pelbagai kemudahan awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI