fbpx

Wanita bincang isu seks di media sosial tampil mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar perkongsian wanita itu di media sosial.

PETALING JAYA – Seorang wanita tampil membuat permohonan maaf selepas kandungan berunsur lucah yang dibuat olehnya di satu kumpulan Telegram tular dan mendapat kecaman orang ramai.

Wanita tersebut melalui satu hantaran di Facebooknya berkata, dia memohon maaf kerana perkongsiannya yang melampau itu telah menimbulkan kekecohan.

“Saya memohon jutaan maaf atas kesilapan juga kekhilafan daripada pandangan saya yang telah menimbulkan kekacauan dan ketidakselesaan antara kita.

“Apa yang berlaku itu adalah suatu pengajaran dan pertanggungjawaban ke atas diri saya,” katanya.

Katanya, apa yang dilontarkan itu hanyalah pendapat dan pandangannya sendiri.

“Apa yang telah saya lontarkan sama ada dalam Facebook mahupun grup, adalah pendapat dan pandangan saya sendiri yang tidak bersangkut paut dengan madrasah atau mana-mana guru saya.

“Semoga permohonan maaf ini dapat menjernihkan tanggapan dan suasana tidak kondusif antara warga di media sosial sejak kebelakangan ini.

“Kepada Allah saya memohon ampun, kepada Rasulullah saya mengharap syafaat, kepada kalian saya memohon maaf,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial apabila sebuah kumpulan Telegram diwujudkan bagi berkongsi kisah seks dalam rumah tangga.

Susulan itu juga, wanita tersebut bakal dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk siasatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau turut mengarahkan Jakim untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berkaitan kandungan yang terkandung dalam media sosial untuk diambil tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI