fbpx

Pelajar tingkatan dua ditemui mati lemas di Sungai Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba membawa naik mayat remaja lelaki yang lemas di Sungai Perak berhampiran Jeti Kampung Terengganu di Teluk Intan hari ini.

TELUK INTAN – Mayat pelajar lelaki tingkatan dua, V. Johnson, 15, yang dilaporkan hilang di Sungai Perak berhampiran Jeti Kampung Terengganu di sini semalam ditemui pukul 4.45 petang tadi oleh anggota bomba kira-kira 60 meter dari lokasi mangsa disyaki mandi di sungai berkenaan.

Difahamkan, keluarga remaja tersebut membuat laporan polis semalam selepas dimaklumkan guru sekolah mangsa berkaitan penemuan beg sekolah, baju dan seluar dipercayai milik mangsa oleh orang awam di jeti tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan setelah menerima panggilan pada pukul 8.17 malam sebelum mangsa yang hanya berseluar pendek dijumpai terapung.

“Anggota segera membawa mangsa naik ke tebing namun dia disahkan telah pun meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Dalam operasi itu, lima buah bot digunakan selain khidmat dua ekor anjing pengesan (K9) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengesan mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurut  beliau, selain lapan anggota BBP Teluk Intan, operasi turut disertai anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Teluk Intan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Mayat mangsa yang dibuat pengecaman oleh bapanya itu dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI