fbpx

Anak maut nahas lima kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN lori Daihatsu Delta yang dinaiki tiga beranak terlibat dalam kemalangan di Kilometer 18.8 Jalan Benut-Simpang Renggam, Kluang hari ini.

KLUANG – Seorang remaja meninggal, manakala adik dan ayahnya cedera selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 18.8 Jalan Benut – Simpang Renggam petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.25 petang itu melibatkan lima buah kenderaan iaitu dua kereta Proton Wira dan masing-masing sebuah kereta Toyota Vellfire, Kia Sportage serta lori Daihatsu Delta.

Katanya, hasil siasatan awal kejadian berlaku ketika kereta Proton Wira yang dipandu oleh Mohd Hanifah, 61, dari arah Benut ke Simpang Renggam manakala Abdul Majid, 66, serta dua anaknya Muhammad Aliff, 14, dan Muhammad Zafir, 10, datang dari arah bertentangan dengan menaiki lori Daihatsu Delta.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, Proton Wira tersebut secara tiba-tiba memasuki laluan lori Daihatsu Delta menyebabkan berlaku perlanggaran.

“Akibat daripada perlanggaran itu, Muhammad Alif mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal di lokasi kejadian manakala ayahnya serta adiknya mengalami kecederaan dan kini dirawat di Zon Kuning Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK),”katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Bahrin lagi, kereta Toyota Vellfire, KIA Sportage yang berada di belakang kereta Proton Wira tidak sempat mengelak turut berlaku perlanggaran termasuk sebuah kereta Proton Wira yang diletakkan ditepi jalan berhampiran kawasan kejadian.

Ujarnya, pemandu kereta Proton Wira itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan termasuk pemandu dua lagi kenderaan, manakala kereta Proton Wira yang diletakkan ditepi jalan tiada pemandu di dalamnya.

“Susulan daripada kejadian itu, pemandu kereta Proton Wira ditahan untuk pemeriksaan air kencing dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI