fbpx

Lebih 140 pangkalan haram di Sungai Golok jadi laluan penyeludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pangkalan haram di Kampung Kebun, Tumpat merupakan salah satu lokasi laluan masuk penyeludup ke negara ini. -Foto ROHANA ISMAIL/KOSMO!

KOTA BHARU – Sebanyak lebih 140 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dekat sini dikenal pasti menjadi laluan penduduk Malaysia dan Thailand untuk berulang-alik bagi menjalankan kerja-kerja penyeludupan.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, siasatan mendapati, penduduk di kedua-dua negara juga mempunyai pertalian kekeluargaan antara satu sama lain.

Menurutnya, bagaimanapun, jumlah penyeludup di Sungai Golok dekat sini semakin berkurangan berikutan agensi-agensi penguatkuasaan kerap melakukan pemantauan di kawasan sempadan negara ketika ini.

“Tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir penduduk di kawasan Sungai Golok menjadikan kegiatan penyeludupan sebagai mata pencarian harian mereka.

“Penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand berlaku di negeri-negeri sempadan seperti Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan. Kes penyeludupan di Kelantan agak berbeza kerana kedudukan geografinya hanya dipisahkan dengan Sungai Golok yang sempit.

“Selain itu, Sungai Golok juga menjadi penempatan penduduk di antara kedua-dua buah negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Golok kebanyakannya merupakan pemilik asal tanah tersebut.

Menurutnya, binaan di dalam tanah persendirian dan berhampiran Sungai Golok itu juga menyukarkan agensi membuat serbuan dan pemantauan.

“Rantau Panjang terletak di dalam daerah Pasir Mas dan bersempadan dengan Thailand dan dipisahkan oleh Sungai Golok sepanjang 103 kilometer.

“Terdapat tiga laluan keluar dan masuk yang sah di antara kedua-dua negara iaitu, Bukit Bunga, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor,” katanya.

Wan Jamal Abdul Salam berkata, JKDM Kelantan mengambil maklum mengenai laporan Kosmo! bertajuk Tiga Generasi Penyeludup yang memilih untuk bekerja sebagai penyeludup secara turun termurun dan mengambil upah sehingga RM200 sehari.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, upah lumayan sehingga RM200 sehari mendorong sebahagian penduduk di sekitar kawasan Sungai Golok di Tumpat dan Rantau Panjang, Pasir Mas masih memilih untuk bekerja sebagai penyeludup.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI