fbpx

Mahkamah: Guan Eng sudah terima laporan forensik perbualan WhatsApp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng (tengah) semasa hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh Syakir Radin.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Lim Guan Eng sudah menerima laporan forensik perbualan WhatsApp di antara dua ahli perniagaan berhubung isu wang RM2 juta yang akan digunakan dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh memaklumkan, pihak pendakwaan menyerahkan laporan itu kepada pihak pembelaan pada 18 April lalu dan disahkan oleh peguam Haijan Omar bahawa ia diterima pada hari yang sama.

Hakim Azura Alwi mengambil maklum perkara tersebut dan menetapkan perbicaraan disambung pada 18 Julai ini seperti yang telah dijadualkan sebelum ini.

Hari ini ditetapkan untuk kedua-dua pihak memaklumkan perkembangan penyerahan laporan forensik itu berikutan keputusan mahkamah pada 5 April lalu yang membenarkan permohonan pihak pembelaan mendapatkan dokumen tersebut.

Laporan forensik itu mengandungi perbualan WhatsApp di antara Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan G. Gnanaraja yang didedahkan melalui keterangan pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof.

Azura memutuskan demikian selepas berpuas hati wujud dua versi keterangan berbeza di Mahkamah Shah Alam dan di ibu negara berkenaan tujuan penyerahan wang RM2 juta dan kepada siapa ia diserahkan melibatkan baucar pembayaran dan cek.

Menurut Azura, nota prosiding dan pernyataan bertulis saksi-saksi dalam kes di Shah Alam yang dikemukakan sebagai eksibit dalam kes di sini menunjukkan wang RM2 juta dikeluarkan melalui baucar pembayaran dan cek Public Bank dan dikatakan diserahkan kepada Gnanaraja.

Ujar hakim itu, dalam kes di ibu negara, keterangan juga menunjukkan baucar pembayaran dan cek yang sama dikemukakan dan telah ditandakan sebagai eksibit P140 dan P141 namun wang RM2 juta itu dikatakan diserahkan kepada Guan Eng.

Azura menjelaskan, keterangan juga menunjukkan terdapat perbincangan berkenaan wang tersebut melalui perbualan WhatsApp antara Zarul Ahmad dan Ganarajah manakala laporan analisis digital forensik kemudian disediakan oleh pihak SPRM.

“Mahkamah berpuas hati fakta yang menyeluruh haruslah dibentangkan dan dikemukakan agar kebenaran dapat diketahui,” ujarnya.

Ujar Azura lagi, pemohon perlu mendapat laporan analisis digital forensik dan laporan pengadu dalam kes di Shah Alam bagi menyediakan pembelaan yang adil.-KOSMO! ONLINE – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI