fbpx

Mahkamah: Peguam Hisyam Teh Poh Teik akan ketuai pembelaan Siti Bainun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hisyam Teh Poh Teik

KUALA LUMPUR – Peguam terkemuka, Datuk Hisyam Teh Poh Teik akan mengetuai pasukan pembelaan dalam rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down Bella.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor ketika pengurusan prosiding permohonan rayuan penangguhan sabitan dan hukuman penjara di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache.

“Saya dan seorang lagi peguam, iaitu Mohammad Farhan Maaruf akan bekerjasama dengan Datuk Hisyam dalam rayuan itu kelak,” katanya.

Untuk rekod, Hisyam merupakan peguam dalam rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.

Selain kes rayuan Najib, Hisyam juga merupakan peguam bela bagi kes seorang wanita Sam Ke Ting dalam kes lajak basikal yang menyebabkan kematian lapan remaja.

Pada 3 Mei lalu, Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan Siti Bainun, 31, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dua pertuduhan tersebut.

Pada masa sama mahkamah turut menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, Siti Bainun menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Kajang bermula tarikh disabitkan dengan kesalahan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari hingga Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama Siti Bainun dipenjara selama 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara selama 12 tahun dan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan hari ini.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran sebanyak RM5,000 sebagai tambahan hukuman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI