fbpx

3 lelaki beraya pakai motosikal curi diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAHMAT menunjukkan tiga buah motosikal jenis Honda CX5 yang berjaya dirampas dari tiga suspek selepas menahan tiga suspek kes curi motosikal. - Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

ISKANDAR PUTERI – Tiga individu termasuk dua pelajar sekolah sanggup mencuri tiga motosikal jenis Honda EX5 semata-mata hendak kelihatan bergaya di Hari Raya Aidilfitri pada minggu.

Salah sebuah motosikal yang dicuri kumpulan itu adalah milik seorang anggota polis yang dilarikan di rumah Pangsapuri Merak, Jalan Pulai Harmoni 1, Bandar Baru Kangkar Pulai, di sini, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya menerima aduan daripada pengadu yang juga anggota polis kira-kira pukul 5 petang memaklumkan motosikal yang ditinggalkan dalam keadaan berkunci di pangsapuri itu hilang.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri dan pasukan khas Balai Polis Kangkar Pulai telah menahan seorang suspek pada pukul 7.50 malam, 1 Mei lalu.

“Dalam serbuan berasingan, polis berjaya menahan seorang lagi suspek dan merampas tiga buah motosikal di sekitar kawasan Kangkar Pulai.

“Hasil soal siasat daripada tangkapan pertama itu, polis berjaya menahan seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kes ini. Kesemua suspek yang ditahan ini berumur lingkungan 14 hingga 21 tahun.

“Hasil siasatan awal dijalankan mendapati tindakan mereka Melakukan kecurian itu adalah untuk kegunaan sendiri pada hari Raya Aidilfitri lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Rahmat berkata, selain tiga motosikal yang dicuri, polis turut merampas dua kunci motosikal.

Katanya, tiga sekawan yang aktif melakukan kegiatan curi motosikal sejak bulan lalu itu menyasarkan motosikal jenis Honda EX5 yang diletakkan di bawah blok pangsapuri atau di kawasan masjid.

“Dengan tangkapan tiga suspek itu, polis berjaya menyelesaikan tiga kes curi motosikal yang mana dua dilaporkan di IPD Iskandar Puteri dan satu di IPD Johor Bahru Utara,” ujarnya.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek termasuk dua remaja yang masih bersekolah itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah menerusi ujian saringan awal air kencing.

“Mereka kini ditahan reman sehingga Rabu ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI