fbpx

Kerajaan negeri pantau pemilik syarikat hartanah miliki rekod gagal siapkan rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim pada Majlis Pelancaran Rumah Teres Setingkat Carnelian 2 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran MK Land di Taman Meru Perdana 2 di Ipoh, hari ini. Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI/KOSMO!

IPOH – Kerajaan Perak tidak menolak kemungkinan menyenarai hitam pemilik syarikat pemaju hartanah yang memiliki rekod gagal menyiapkan projek perumahan sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan individu sama mengambil kesempatan menubuhkan syarikat baharu bagi mendapatkan projek.

“Hendak senarai hitam syarikat ini susah sikit tapi jika hendak senarai hitam tuan syarikat, itu kita boleh buat. Katakan dia (pemilik syarikat) buka syarikat hartanah dan gagal, kemudian wujudkan syarikat lain, yang itu kita kena peka.

“Adakala mereka ini sengaja gagalkan projek pertama selepas kaut keuntungan dan tutup kedai dengan membiarkan pembeli sengsara. Mereka ini kemudian buka pula syarikat lain dan buat pembangunan baharu, yang ini kita boleh trace (kesan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Rumah Teres Setingkat Carnelian 2 dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran MK Land Holdings Berhad (MK Land) di Taman Meru Perdana 2, di sini, hari ini.

Menurut Saarani, beliau meletakkan keyakinan terhadap Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi jawatankuasa khas yang dibentuk bagi menangani isu projek perumahan terbengkalai

Katanya, masalah projek rumah terbengkalai bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini telah pun berlaku.

“Saya harap KPKT akan mencari kaedah penyelesaian kepada rumah terbengkalai ini sebab tidak adil untuk pembeli apabila potongan gaji telah dibuat tapi rumah belum siap atau lambat siap,” katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Saarani melancarkan projek rumah teres setingkat Carnelian 2 di Taman Klebang Putra melibatkan 90 unit rumah dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Rumah dengan keluasan binaan 1,363 kaki persegi itu ditawarkan pada harga RM281,255 dan dijangka siap pada April 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI