fbpx

Individu 65 tahun ke atas antara berisiko tinggi strok haba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Individu yang berumur 65 tahun ke atas dan kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah lebih berisiko terdedah kepada strok haba.

Pakar Perunding Endokrinologi Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Ch’ng Tong Wooi, berkata, penghidap penyakit kronik, ibu mengandung dan menyusu termasuk pekerja yang terdedah kepada cuaca panas turut berisiko tinggi.

“Terdapat individu yang berisiko lebih tinggi apabila terdedah kepada cuaca panas dan antara faktornya termasuk umur, tahap kesihatan, keadaan fizikal dan persekitaran di mana mereka berada.

“Bagaimanapun, setiap individu perlu berjaga-jaga dan mengambil langkah untuk kurangkan pendedahan kepada cuaca panas kerana ia boleh menjejaskan tahap kesihatan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelas beliau, adalah penting untuk mengenali gejala strok haba berikutan banyak kawasan kini berhadapan dengan cuaca panas berbanding kebiasaan.

“Penting bagi semua, terutamanya ibu bapa untuk mengenali gejala strok haba lebih awal.

“Antara simptomnya ialah suhu badan tinggi (40°C atau lebih tinggi), kelesuan, sakit kepala, loya dan pening, mengalami masalah pernafasan, kekeliruan dan hilang kesedaran,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya minum lebih air bagi memastikan badan tidak mengalami dehidrasi.

“Jika terdedah kepada persekitaran panas, minum lebih air untuk hidrat semula badan dengan cepat. Boleh juga minum jus buah-buahan dengan menambah air atau minuman sukan untuk menambah elektrolit.

“Setiap individu juga disaran untuk menggunakan krim pelindung matahari (sunscreen) apabila berada di luar dan seboleh-bolehnya kurangkan aktiviti di luar rumah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI