fbpx

[VIDEO] Teman arwah sampai ke liang lahad, ‘tanggungjawab saya’ – Didie Alias

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIDIE ALIAS

HULU LANGAT – Pelakon dan pengacara, Didie Alias berpegang teguh kepada pendirian bahawa walau apapun pernah terjadi antaranya dengan bekas suami Allahyarham Ridzuan Hashim, lelaki itu tetap meninggalkan impak yang besar dalam hidupnya.

Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah binti Mohd @ Ali berkata, atas alasan itulah dia merasakan satu tanggungjawab untuk menemani Allahyarham hingga beliau selamat dikebumikan dalam liang lahad.

“Saya rasa itu tanggungjawab saya. Sebab, walaupun dia bekas suami dan saya tahu dia tak sihat namun dia tetap ayah kepada anak-anak saya.

“Syukur saya dapat selesaikan (pengebumian). Perjalannya diatur dengan sangat baik. Dari nafasnya yang terakhir (tengah hari semalam) sampailah ke liang lahad.

“Semua anak-anak pun ada dengan saya. Ini semua aturan Allah. Saya reda dengan pemergian arwah,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui usai pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kariah, Dusun tua, di sini, malam tadi.

JENAZAH Allahyarham Ridzuan Hashim ketika dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor malam tadi. – IQBAL ROSLI

Kata Didie, 51, lagi, meskipun pernah ada sengketa antaranya dengan bekas suami, dia sudah memaafkan beliau dan tiada langsung dendam antara mereka.

“Saya dah maafkan dia lama. Saya dah halalkan makan minum dia dan saya tengok dia pergi pun dengan tenang. Alhamdulillah,” ujarnya lagi.

Semalam, dunia seni tanah air kehilangan sebutir lagi bintang apabila Allahyarham Ridzuan Hashim atau nama sebenarnya, Mohd. Ridzuan Hashim meninggal dunia ketika sedang bersarapan.

Menurut keluarga dan kenalan rapat, Allahyarham sudah tiga tahun menghidapi penyakit jantung namun tidak ramai yang mengetahui tentang deritanya berdepan dengan masalah kesihatan tersebut.

Didie pernah mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham selama 10 tahun sebelum memilih untuk bercerai pada 2002.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lima cahaya mata Nurdania, Mohd. Danial, Dinie, Danie dan Diana.

Aktres yang cukup dikenali dengan sifat periang itu kemudian mendirikan rumah tangga dengan bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan, Norisham Ismail pada 8 Mei 2009 dan dikurniakan seorang cahaya mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI