TIdak dinafikan, perkembangan teknologi semakin canggih di samping medium media sosial yang mampu berhubung dengan pengguna seluruh negara membantu mempercepatkan penyampaian sesuatu maklumat termasuklah penyebaran berita palsu.
Situasi ini banyak meninggalkan kesan negatif pada sebahagian kita sehingga ada yang mengalami tekanan hidup, emosi dan mental gara-gara terpengaruh dengan maklumat palsu tersebut.
Awas, sekiranya perkara ini tidak dikawal dan dibendung dengan tegas, mungkin penduduk berisiko akan terus hidup sebagai pesakit mental tegar.
Pegawai Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, dalam situasi tersebut, individu yang tidak dapat menerima sesuatu hal yang berlaku pada dirinya boleh menyebabkan gangguan emosi serta perubahan tingkah laku sehingga menjejaskan urusan seharian.
“Isu gangguan mental, bermaksud situasi apabila individu tidak mampu memenuhi keperluan kehidupan secara efektif, produktif terhadap tuntutan semasa serta tidak fleksibel terhadap perubahan dalam fasa kehidupannya.
“Atau seseorang tidak mampu menguruskan diri, tidak boleh menghadapi cabaran harian, tidak harmoni dalam perhubungan dan gagal mengendalikan perubahan dari semasa ke semasa termasuk berdepan berita palsu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bercerita lanjut, Siti Fatimah menjelaskan kesan paling awal yang dihadapi seseorang individu yang terkesan dengan penyebaran berita palsu adalah stres iaitu tindak balas emosi, fizikal dan mental.
Katanya lagi, information disorder atau gangguan maklumat seperti berita palsu adalah salah satu masalah sosial masa kini yang semakin menjadi-jadi dan sudah tiba masanya untuk Malaysia menangani masalah ini secara lebih strategik.
“Pengguna media sosial masa kini tidak mengira usia, dari yang kecil hinggalah yang tua.
“Namun apa yang dikesalkan kesedaran terhadap etika penggunaannya masih rendah, yang mana tahap literasi media dan informasi masih tidak memuaskan.
“Pendidikan berkaitan literasi media harus ditingkatkan yang bukan sekadar kempen di TV (televisyen) dan media lain,” jelasnya.
Sehubungan itu, sebagai langkah membendung perkara ini, Siti Fatimah berharap, satu tindakan undang-undang yang lebih tegas perlu diambil ke atas mereka yang menyebarkan berita palsu, terutama maklumat yang boleh menyebabkan ketakutan, huru-hara, pergaduhan serta menggugat kesejahteraan masyarakat.
“Masyarakat juga perlu mengetahui cara membuat laporan jika berlakunya penyebaran berita yang palsu berkaitan diri atau orang lain.
Segera hubungi pihak polis atau Majlis Keselamatan Negara atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar tindakan susulan dapat dilaksanakan segera,” cadangnya.