fbpx

Kenduri gol bukan untuk skuad B-22 negara mendabik dada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD muda Harimau Malaya meraikan kejayaan menewaskan Laos 5-1 pada aksi pembukaan Kumpulan A Sukan SEA Kemboja 2023 di Stadium Prince, Phnom Penh kelmarin.

KEMENANGAN bergaya 5-1 yang dilakarkan oleh pasukan pada aksi pembukaan Kumpulan A ke atas Laos bukan jaminan untuk skuad bawah 22 tahun (B-22) negara mendabik dada sebaliknya tumpuan penuh perlu diberikan sepanjang Sukan SEA Kemboja 2023 kali ini.

Ketua jurulatih skuad B-22 kebangsaan, E. Elavarasan mengakui tidak menjangka anak-anak buahnya akan ‘kenduri’ gol pada perlawanan pembukaan memandangkan secara tradisinya aksi pertama pada mana-mana kejohanan dijangkakan sukar.

“Selepas menjalani sesi latihan singkat, saya akui sangat lega dengan keputusan diraih terutama apabila pasukan dapat meraih jumlah gol yang banyak.

“Namun, itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana negara-negara lain juga telah menjaringkan banyak gol tetapi pujian wajar diberikan kepada pemain yang bekerja keras sepanjang perlawanan.

“Harus diakui kita agak bergelut pada awal perlawanan dan ia adalah perkara normal memandangkan pasukan ini baru dibentuk dengan ramai pemain berbeza. Saya percaya kemena­ngan ini boleh menaikkan semangat pemain,” katanya selepas tamat perlawanan.

Pada aksi di Stadium Prince itu, skuad muda Harimau Malaya meraih gol hasil jaringan Ubai­dullah Shamsul Fazili, Syahir Bashah, Najmudin Akmal Kamal Akmal dan dua jaringan sendiri daripada pasukan Laos.

Mengulas lanjut, Elavarasan mengakui barisan pemain tidak boleh terlalu gembira dengan kemenangan yang diraih selain fokus perlu dialihkan segera untuk perlawanan kedua bertemu Thailand di venue yang sama esok.

“Sasaran kita tidak berubah sama seperti negara lain dan mahu lakukan yang terbaik sepanjang temasya. Cuma, kita hormati Thailand serta Vietnam yang kekal dianggap pilihan pada kejohanan ini,” katanya.

Skuad B-22 negara kini memburu ‘ibu segala pingat’ selepas kali terakhir menjulang pingat emas temasya sukan Asia Tenggara dwitahunan itu pada edisi 2011 di Jakarta dengan menewaskan Indonesia di pentas final.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI