fbpx

18,000 dijangka hadir Rumah Terbuka Madani di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cheng San menunjukkan lokasi tempat letak kenderaan dalam kawasan UiTM Pulau Pinang ketika program Rumah Terbuka bersama Perdana Menteri berlangsung, esok.

SEBERANG PERAI – Dianggarkan seramai 18,000 pengunjung bakal membanjiri program sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, esok.

Justeru, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berharap agar semua pengunjung merancang perjalanan dan tidak datang secara serentak bagi mengurangkan kesesakan.

Beliau berkata, program yang dijangka bermula seawal pukul 11 pagi hingga 2 petang itu akan diteruskan sehingga semua makanan yang disediakan habis.

“Dalam hal ini juga, seramai 23 pegawai dan 149 anggota polis akan ditugaskan untuk memantau perjalanan program dari pukul 9 pagi hingga selewat-lewatnya pukul 5 petang.

“Mereka akan dibantu oleh 29 anggota polis bantuan dari UiTM Pulau Pinang selain 22 anggota Rela serta 22 anggota Kor Suksis (Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi) sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan anggota yang bertugas pada hari itu adalah seramai 245 orang,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Cheng San berkata, pihak penganjur iaitu UiTM turut menyediakan beberapa kawasan parkir bagi memudahkan pengunjung yang ingin ke program berkenaan.

Katanya, antara lokasi parkir yang disyorkan ialah dalam kawasan Politeknik Seberang Perai (PSP) yang terletak tidak jauh dari situ dengan kemudahan bas ulang iaitu sebanyak lima buah.

“Pada masa sama, orang awam juga dibenarkan untuk meletak kenderaan mereka dalam kawasan UiTM namun, disyaratkan datang awal kerana tempat adalah terhad iaitu kira-kira 1,800 unit (parkir) sahaja.

“Penganjur turut menyediakan sehingga tujuh kenderaan ‘shuttle’ (ulang alik) bagi mengangkut pengunjung dari lokasi parkir ini ke tempat program,” katanya.

Jelas Cheng San lagi, ketika program berlangsung, semua laluan masuk akan melalui pintu hadapan UiTM kecuali melibatkan kenderaan tetamu kehormat dan laluan keluar akan melalui pintu belakang universiti itu.

“Pada hari yang sama juga, kenderaan MPV (peronda) polis akan masuk ke kawasan taman perumahan berdekatan bagi membuat hebahan mengenai program itu,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI