fbpx

Rahang Farali Khan terkehel jayakan babak aksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARALI KHAN

PETALING JAYA – Rahang pelakon Farali Khan tercedera dan terkehel ketika menjayakan babak aksi sendiri dalam filem Tujuh Dua Belas.

Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Norfara Ali Dad Khan itu menjelaskan bahawa, kecederaan yang dialami tidak begitu serius yang memerlukan rawatan lanjut.

“Kecederaan merupakan perkara normal dalam melakonkan filem babak aksi lagak ngeri dan kejadian tersebut memang ditakdirkan untuk terjadi.

“Saya mengalami kecederaan rahang terkehel yang agak teruk ketika saya melakonkan adegan berlawan dengan seorang pelakon lain dalam filem Tujuh Dua Belas.

“Namun, semasa melakukan pemeriksaan terperinci, kecederaan yang berlaku tidak begitu serius dan menghiraukan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah Farali yang ditemui ketika malam gala filem Tujuh Dua Belas baru-baru ini, rahangnya terkehel disebabkan perubahan minit akhir sebuah babak lagak ngeri bersama seorang pelakon filem tersebut.

Bagaimanapun, aktres berusia 34 tahun itu memilih untuk tidak mahu mendedahkan indentiti pelakon terbabit demi mengelakkan rasa ‘kurang sedap’ antara mereka.

“Kecederaan berlaku apabila kami mengubah koreografi babak berlawan pada saat akhir.

“Saya pula tidak pernah berlawan dengan individu terbabit. Jadi, kurang keserasian antara kami.

“Inilah realiti melakonkan babak aksi lagak ngeri yang mana ada pertukaran secara tiba-tiba sebelum menjayakan sesebuah babak,” ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita lebih lanjut mengenai pembabitannya dalam filem Tujuh Dua Belas, Farali membawa watak utama yang bertarung nyawa menyelamatkan anak saudaranya yang diculik sekumpulan penyeludup organ manusia.

Selain Farali Khan, filem Tujuh Dua Belas turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Johan Asa’ari, Chintya Candranaya dan Adam Darwisyh

Filem Tujuh Dua Belas arahan Thrope Ali ditayangkan bermula pada hari ini (4 Mei 2023) di pawagam seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI