fbpx

Amalan perkahwinan kanak-kanak semakin berkurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUDAK perempuan memegang sepanduk yang menggesa agar amalan perkahwinan kanak-kanak dihentikan di Rom, Itali pada 27 Oktober 2016. - AFP

BANDAR RAYA NEW YORK – Statistik perkahwinan kanak-kanak di seluruh dunia menunjukkan trend penurunan, namun pada kadar yang tidak mampu menghapuskan amalan tersebut selama 300 tahun lagi, demikian menurut agensi kanak-kanak bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin.

Menurut Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), perubahan signifikan terhadap krisis itu sekiranya berlaku, berisiko mengubah arah aliran trend berkenaan atau meningkatkan kembali statistik tersebut.

“Kami jelas telah mencapai kemajuan dalam amalan perkahwinan kanak-kanak yang sering diabaikan, terutamanya dalam tempoh 10 tahun lalu. Malangnya, kemajuan ini tidak mencukupi,” kata pengarang utama laporan tersebut, Claudia Cappa.

Menurut anggaran UNICEF, seramai 640 juta wanita pada hari ini telah berkahwin ketika berumur bawah 18 tahun. 

Setakat kini, dianggarkan seramai 12 juta gadis menjadi pengantin ketika usia kanak-kanak pada setiap tahun.

Namun, sepanjang tempoh 25 tahun lalu, perkahwinan bawah umur berlaku pada kadar semakin perlahan. Contohnya pada 1997, 25 peratus wanita berumur 20 hingga 24 tahun telah berkahwin sebelum berusia 18 tahun. 

Menjelang 2012, angka itu menurun kepada 23 peratus dan pada tahun lalu, ia berada pada kadar 19 peratus.

Bagaimanapun, ini bermakna kira-kira sembilan juta gadis dijangka dikahwinkan pada 2030, demikian menurut laporan tersebut.

“Pada kadar semasa, kita mungkin perlu menunggu 300 tahun lagi untuk menghapuskan perkahwinan kanak-kanak,” kata Cappa sambil menambah, majoriti perkahwinan tersebut melibatkan gadis berusia antara 12 hingga 17 tahun.

Sementara itu, UNICEF turut menyatakan kebimbangan bahawa gabungan faktor seperti pandemik Covid-19, konflik global serta kesan perubahan iklim yang semakin meningkat boleh mengubah trend pengurangan itu.

Menurut agensi tersebut, Covid-19 sahaja berisiko menjadi penyumbang untuk tambahan 10 juta perkahwinan bawah umur antara 2020 dan 2030.

“Dunia dilanda oleh krisis demi krisis yang menghancurkan harapan dan impian kanak-kanak yang terdedah. Ia terutamanya kanak-kanak perempuan yang sepatutnya menjadi pelajar, bukannya pengantin bawah umur,” kata Ketua UNICEF, Catherine Russell dalam satu kenyataan.

Tambah Russell, konflik yang melanda akan menyebabkan keluarga berasa terpaksa mengahwinkan anak-anak mereka sebagai satu bentuk jaminan keselamatan.

“Walaupun perkahwinan kanak-kanak jelas melanggar hak-hak kanak-kanak, ia sering dilihat oleh keluarga sebagai langkah pelindung untuk kanak-kanak perempuan serta memberikan perlindungan kewangan, sosial atau fizikal,” ujarnya.

Sementara itu, dari segi geografi, Asia Selatan menjadi pendorong utama di sebalik penurunan dalam statistik perkahwinan kanak-kanak perempuan.

Namun, rantau itu masih menyumbang kira-kira 45 peratus daripada 640 juta wanita yang sebelum ini berkahwin sebagai kanak-kanak. India sahaja, menyumbang satu pertiga daripada jumlah tersebut.

Pihak UNICEF selain itu amat bimbang akan situasi di sub-Sahara Afrika yang sebaliknya mencatatkan trend meningkat bagi perkahwinan kanak-kanak.

“Gadis-gadis di sana kini mengalami risiko perkahwinan kanak-kanak paling tinggi di dunia dengan seorang daripada tiga berkahwin sebelum umur 18 tahun,” kata laporan itu.

Laporan berkenaan menjangkakan bilangan pengantin kanak-kanak di rantau itu meningkat sebanyak 10 peratus menjelang 2030. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI