fbpx

Mahkamah: Saiz badan, tahap kesihatan perlu dipertimbang – Peguam Siti Bainun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun yang hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto oleh FARIZ ROSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Faktor saiz badan dan tahap kesihatan Siti Bainun Ahd Razali antara faktor yang perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah Sesyen di sini dalam mengenakan hukuman.

Peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun, 31, ketika rayuannya sebelum hukuman dijatuhkan berkata, hukuman penjara boleh digantikan dengan hukuman denda maksimum, sebagaimana yang terkandung dalam undang-undang.

“Mahkamah perlu mempertimbangkan hukuman dengan memberi hukuman denda maksimum dan tertuduh mampu melunaskan jika dikenakan pada jumlah maksimum,” ujarnya.

Ketika berhujah, pihak pembelaan turut memaklumkan tertuduh juga telah insaf dan ini merupakan kesalahan pertamanya.

“Saya merayu, mahkamah pertimbangkan kecederaan yang dialami oleh Bella, hanya melibatkan kedua belah tangan dan seluruh badan yang terlibat merupakan parut yang telah sembuh. Ini menunjukkan Siti Bainun bukan insan yang kejam dan dia cuba baik mungkin untuk menjaga Bella. Jika hukuman pemenjaraan dikenakan terhadapnya, ia akan menjejaskan kesihatannya,” kata peguam itu lagi.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana pertuduhan terhadap Siti Bainun adalah serius.

“Hampir keseluruhan badan Bella, mengalami luka lecur dan terdapat beberapa parut yang mana ia akan kekal seumur hidupnya. Ia bukan sahaja mengundang kecederaan fizikal malah mahkamah perlu menjatuhi hukuman ke atas tertuduh kerana ia menjejaskan emosi mangsa,” katanya.

Terdahulu Mahkamah Sesyen di sini mendapati Siti Bainun bersalah dan dipenjara selama 12 tahun atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down Bella.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari hingga Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama Siti Bainun dipenjara selama 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara selama 12 tahun dan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI