SELEPAS lima tahun mendirikan rumah tangga, Mona Allen membiarkan seketika impian untuk menimang cahaya mata berdiam di pintu hatinya. Bukan tidak percayakan rezeki ketetapan Ilahi, namun dia enggan meletakkan harapan tinggi untuk bergelar seorang ibu, takut-takut penantiannya cuma membuahkan kekecewaan.
Sampai ke satu tahap, wanita yang mesra disapa Mona itu hanya berserah kepada takdir. Dia tidak menghiraukan pandangan umum, seandainya perkahwinan yang dibina bersama pelakon dan juga pengarah,
Pekin Ibrahim itu tidak dihiasi dengan kehadiran zuriat sebagai ‘pemanis’ alam rumah tangga.
Ketika usianya mencecah 36 tahun, Mona berpendapat impian untuk menimang cahaya mata bukan lagi satu keutamaan, asalkan dirinya hidup bahagia di samping suami.
Namun, seperti yang telah disuratkan Ilahi, tanpa sebarang perancangan Mona akhirnya disahkan hamil pada Januari tahun lalu dan selamat bergelar ibu kepada seorang putera pada 31 Ogos 2022.

Kurniaan terindah
Bahkan selepas tujuh bulan menimang zuriat yang diberi nama Petra Pekin, Mona masih tidak percaya dirinya kini berstatus seorang ibu. Bibirnya tidak putus memanjat rasa syukur atas zuriat yang dihadirkan dalam hidupnya bersama suami.
Berkongsi semula saat kali pertama mengetahui kehamilan, Mona tidak menyangka dia sedang berbadan dua.
“Saya mendapat tahu sedang hamil pada Januari 2022. Saya tidak merancang dan tidak lagi berharap untuk menimang cahaya mata selepas bertahun-tahun menunggu.
“Sampai satu tahap saya tidak lagi kisah jika tidak dikurniakan cahaya mata.
“Kalau ada, adalah. Kalau tiada pun tidak mengapa,” luahnya.
Ujar Mona atau nama lengkapnya Munna Hafiraneza Allen lagi, jika diikutkan dia dan suaminya telah merancang untuk melakukan rawatan kesuburan in-vitro (IVF) sebagai ikhtiar menimang zuriat pada Mac tahun lalu.
“Tapi saya diberikan rezeki yang tidak disangka apabila hamil secara semula jadi pada Januari.
“Disebabkan kehamilan itu juga, saya bercakap dengan diri sendiri untuk berubah menjadi lebih baik, sekaligus nekad mengambil keputusan untuk berhijab selepas usia kandungan mencecah tujuh bulan,” jelasnya.
Kongsi pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu, keputusannya untuk tampil dengan imej muslimah tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Selamat tinggal imej seksi
Mona sendiri tidak pernah berkongsi tentang hasrat hatinya itu kepada sesiapa pun, termasuk suaminya.
“Saya cakap dengan diri sendiri untuk berhijab selepas dikurniakan zuriat. Alhamdulillah urusan saya dipermudahkan sehinggalah saya benar-benar bertudung ketika usia kandungan mencecah tujuh bulan.
“Pekin pula, bila saya ambil keputusan untuk berhijab, mula-mula dia tidak percaya.
“Dia ingatkan tindakan saya itu disebabkan perubahan hormon. Tapi selepas saya jelaskan kepadanya, dia sangat menyokong keputusan saya,” katanya.
Sejujurnya, selepas berhijab, Mona beroleh ketenangan perasaan yang sukar digambarkan.
Dia berasa lebih selamat daripada pandangan mata orang lain selepas mengambil keputusan untuk menutup aurat.
“Selepas berhijab perasaan saya menjadi lebih tenang. Lebih relaks. Bila nak keluar rumah dah tak payah fikir nak buat rambut.
“Rasa selamat sebab tertutup (pakaian). Pandangan mata orang terhadap kita pun rasa lebih dihormati. Saya rasa sangat selesa bertudung,” jelasnya.
Sebelum mengambil keputusan berhijrah, Mona mengakui imejnya dahulu kelihatan agak seksi. Dia tidak terkecuali dihimpit kontroversi gara-gara penampilannya yang dikatakan mencolok mata.
Maka, perubahan drastik imejnya 360 darjah membuatkan ada segelintir pihak tidak percaya dengan penampilannya.
“Dahulu saya kerap dilabel sebagai seksi. Tapi selepas mengalami perubahan drastik 360 darjah, ada orang-orang sekeliling yang tidak percaya dengan perubahan saya.
“Demi anak, saya terfikir untuk berubah kerana sudah bosan dengan imej lama dan memerlukan perubahan yang lebih baik dan segar,” katanya.

Watak gedik
Mona juga bersyukur tawaran berlakon tidak pernah putus walaupun telah tampil berhijab.
Bagaimanapun, sama seperti pelakon wanita lain yang telah berubah penampilan, Mona tidak terkecuali meletakkan beberapa syarat kepada produksi dan pengarah yang mahu mengambilnya berlakon.
“Antaranya, saya tidak mahu lagi membawakan watak wanita gedik. Rasa tidak sesuai dengan imej sekarang.
“Tapi buat masa ini, saya terpaksa menolak tawaran berlakon sekurang-kurangnya sehingga tahun hadapan. Petra masih kecil dan memerlukan perhatian sepenuhnya,” jelas Mona.
Menyentuh tentang sambutan raya pada tahun ini, Mona dan Pekin gembira buat kali pertama menyambut lebaran berstatus ibu bapa.
Tiada lagi soalan ‘maut’ berkaitan cahaya mata diajukan kepada kepada.
Kehadiran Petra memberikan satu kelegaan buat Mona dan Pekin apabila terlepas daripada ‘beban’ menjawab soalan berkaitan zuriat.
“Saya tidak kisah pun apabila diajukan soalan tentang anak. Sebelum ini apa yang boleh saya cakap, belum ada rezeki.
“Tapi selepas dikurniakan Petra, nampaknya mungkin saya akan diajukan soalan untuk menambah bilangan cahaya mata pula selepas ini,” katanya.

Tatarias MEOR AZRIN (@meorazrin)














