fbpx

Kes Covid-19 di Kedah meningkat 76.7 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ALOR SETAR – Sebanyak 281 kes Covid-19 dicatatkan di Kedah antara 23 hingga 29 April lalu, iaitu peningkatan sebanyak 76.7 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, majoriti kes dilaporkan adalah melalui saringan bergejala iaitu berjumlah 71.9 peratus.

Katanya, kebanyakan kes hanya bergejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

“Pada minggu sama, peratus harian pengisian katil biasa dan rawatan rapi yang diperuntukkan untuk kes-kes Covid-19 di negeri ini berada di bawah paras 25 peratus.

“Secara keseluruhannya sejak permulaan Covid-19, Kedah telah mencatatkan sejumlah 319,742 kes. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,065 kes dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) dan varian berkepentingan (VOI) dan ketika ini juga, omicron kekal sebagai satu-satunya varian yang sedang menular,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, setakat ini tiada satu pun kes melibatkan subvarian baharu Covid-19, Arcturus dilaporkan di Kedah.

“Ketika ini kapasiti perkhidmatan kesihatan di klinik kesihatan dan hospital masih lagi terkawal serta tidak berada pada tahap membebankan, namun berdasarkan peningkatan kes semasa, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah telah mengarahkan semua pejabat kesihatan daerah, hospital dan klinik seluruh negeri meningkatkan kesiapsiagaan serta pengawasan terhadap semua pesakit yang mendapatkan rawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI