fbpx
KERJAYA sebagai rider kini tidak lagi menjanjikan pendapatan lumayan apabila kebanyakan penghantar makanan mula merungut kerana mendapat hasil yang sedikit berbanding ketika PKP sebelum ini. – GAMBAR HIASAN

Rider tersingkir tanpa pengalaman kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ramai penghantar makanan atau rider dan pemandu e-hailing mula mengeluh apabila mereka kini sukar untuk mencari pekerjaan dalam bidang lain kerana tiada pengalaman industri yang diperlukan majikan.

Golongan itu kini mula mencari pekerjaan lain apabila rata-rata rider misalnya hanya memperoleh tidak sampai RM100 untuk 12 jam bekerja berbanding lebih RM200 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Difahamkan ketika ini, lebih 400,000 individu menyertai pekerjaan dalam ekonomi gig sebagai sumber pendapatan tetap melibatkan p-hailing dan e-hai­ling di seluruh negara.

Seorang rider, Herizal Amriz Ismat Alang, 29, berkata, dia mula menceburi bidang berkenaan sejak tahun 2016 dan menerima pelbagai tawaran daripada syarikat p-hailing, malah pendapatan ketika itu sungguh lumayan terutama ketika PKP.

Bagaimanapun, katanya, sejak ekonomi negara dibuka semula, pendapatannya mula berkura­ngan apabila pengguna boleh membeli makanan sendiri berbanding membuat pesanan secara online.

“Lebih teruk lagi, pelbagai bayaran atau insentif telah dikurangkan dan ada yang terus dimansuhkan. Tambang minimum pembayaran untuk penghantaran sekarang masih RM5, tetapi insentif banyak dikurangkan.

“Ramai penunggang mengeluh, tetapi terpaksa reda dengan apa yang ditawarkan oleh syarikat p-hailling. Kami terpaksa menunggang lebih masa untuk dapat banyak pendapatan,” katanya kepada Kosmo!

DERETAN motosikal penghantar makanan mengambil pesanan makanan untuk dihantar kepada pelanggan. GAMBAR HIASAN

Pemegang Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media itu berkata, sejak hampir tujuh tahun menyertai ekonomi gig, peluang pekerjaan dalam bidang lain kini amat tipis sekali.

Ini kerana, katanya, keba­nyakan syarikat hanya mencari pekerja yang mempunyai pe­ngalaman dalam suatu bidang.

“Majikan mahukan calon yang ada pengalaman, tetapi kami hanya tahu dan pandai menghantar makanan.

“Saya nak masuk dalam bidang yang saya pelajari di universiti sebelum ini agak susah kerana tiada lagi pengalaman bekerja, namun saya amat mengharapkan pekerjaan tetap.

“Golongan muda yang bercita-cita untuk menjadikan ekonomi gig sebagai pekerjaan tetap kena fikir panjang-panjang terlebih dahulu, jangan sia-siakan masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, Azrie Salleh, 25, berkata, pendapatannya ketika menyertai ekonomi gig semasa PKP lalu sangat memberangsangkan, namun ketika ini merosot.

“Pendapatan sebagai penghantar makanan ketika PKP dahulu lumayan, tapi sekarang nak dapat RM2,000 sebulan pun susah, itu pun kena kerja bermula pagi sampai malam.

“Kalau keadaan ini berterusan, saya rasa tidak menguntungkan dan lebih baik saya cari kerja lain, tidak mahu lagi bergantung dalam sektor ini,” ujarnya.

Bagi Solihin Abu Bakar, 26, pula, dia kesal kerana menyertai ekonomi gig dan berpandangan bahawa pekerjaan itu hanya bersifat sementara, bukannya sebagai pekerjaan tetap.

“Kalau ikutkan kerja ini juga teruk, badan penat atas motosikal dan perlukan kerja keras walaupun waktu tugasan yang fleksibel.

“Kalau boleh diputarkan semula masa, saya lebih memilih kerja yang lebih menjamin masa depan,” katanya.

Seorang pemandu e-hailing yang dikenali sebagai Tajul, 32, memberitahu, sebelum Covid-19 melanda negara, dia mampu memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM200 sehari untuk tempoh kerja lapan jam sahaja, tetapi kini nak dapat RM100 pun sukar.

“Ini bukan lagi zaman yang bagus untuk ekonomi gig kerana terlalu ramai pemandu e-hailing dan banyak syarikat menawarkan perkhidmatan ini.

“Kami nak cari kerja lain pun susah sebab tidak banyak pe­ngalaman, apabila pergi temu duga, majikan akan tanya pe­ngalaman apa yang ada, tetapi kami tiada apa-apa,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN