fbpx

Harga makanan turun 20 peratus lepas Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai membeli pelbagai barangan keperluan di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu. – PUQTRA HAIRRY

PETALING JAYA – Harga makanan dijangka turun antara 10 hingga 20 peratus selepas ­sam­butan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, jangkaan itu berdasarkan kebiasaan yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.

“Kebiasaannya selepas raya harga barang mentah akan turun antara 10 hingga 20 peratus. Ini berlaku kerana permintaan mula berkurangan berbanding semasa musim perayaan.

“Apabila permintaan berkurangan, barang tidak laku, maka pembekal akan menurun­kan harga dan peniaga dapat menjual makanan kepada pengguna pada harga lebih rendah.

“Namun penurunan harga itu mungkin tidak serendah berbanding dahulu kerana kenaikan kos sebelum Ramadan sahaja kira-kira 30 peratus dan ditambah kira-kira 20 peratus semasa Ramadan.

“Jadi kita mengharapkan makanan akan dapat dijual pada harga lebih rendah selepas sambutan raya Aidilfitri,” kata­nya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan orang ramai berhubung kenaikan harga makanan di pasaran semasa bulan Ramadan dan Syawal tahun ini.

Terdahulu, Rosli berkata, kenaikan kos bahan mentah termasuk ayam adalah di luar kawalan peniaga menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga jualan untuk memperoleh keuntungan.

Malah kata beliau, bahan mentah lain yang bukan kawalan ­seperti halia, lengkuas, kunyit, serai turut mengalami kenaikan harga.

“Ini barang tidak masuk dalam senarai kawalan harga. Cili pun naik harga. Ini asas dalam masakan. Jadi bagaimana peniaga makanan ­dapat jual pada harga lebih murah,” katanya.

Tambah beliau, jumlah peniaga yang semakin bertambah, sekali gus menyebabkan permintaan terhadap barang mentah meningkat, namun bekalan amat kurang di pasaran.

Justeru, katanya, orang ramai diharap memahami situasi dialami peniaga terutama peniaga makanan dalam penentapan harga jualan.

Katanya, memahami beban pengguna, pihaknya menasihati peniaga tidak menaikkan harga terlalu tinggi sehingga boleh membebankan pengguna.

“Kebiasaanya pembekal ambil keuntungan sebelum raya dan selepas raya barang tidak laku membuatkan mereka terpaksa turunkan harga.

“Ini sudah jadi amalan mereka (pembekal) setiap kali tiba bulan Ramadan dan Syawal apabila permintaan tinggi, harga pun jadi tinggi.

“Kita mengharapkan kos makanan kembali rendah selepas raya, tetapi ini semua jangkaan kita sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI