PULANG ke kampung sewaktu musim perayaan merupakan satu momen menyeronokkan meskipun terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas selama berjam-jam.
Situasi itu juga dirasai oleh Rizman (bukan nama sebenar) apabila pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun.
Memandangkan kampung Rizman terletak di Jemapoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, perjalanan pulang dari Kuala Lumpur biasanya memakan masa sekitar satu ke dua jam.
Bagaimanapun, ia boleh menjadi empat jam sekiranya ketika musim perayaan.
Kata Rizman, dia pernah mengalami pengalaman ngeri ketika kali pertama pulang beraya menaiki kereta.
Kongsinya, pada ketika itu, dia memilih untuk pulang lewat malam dua hari sebelum Aidilfitri kerana mahu mengelak kesesakan lalu lintas.
“Sebelum ini, setiap kali pulang beraya, saya akan menaiki bas. Selepas memiliki kereta, saya memang teruja ingin pulang ke kampung memandu buat kali pertama.
“Jadi, saya jangkakan pulang lewat malam akan lebih lancar kerana semua orang sudah balik awal pada waktu siang,” katanya ketika dihubungi Panorama baru-baru ini.
Tambahnya, pada hari kejadian, dia memulakan perjalanan sekitar pukul 12 tengah malam dari tempat tinggalnya di Ampang, Selangor.
Katanya, perjalanan dari Kuala Lumpur lancar, namun laluan mula sesak di lebuh raya terutamanya di kawasan Nilai, Negeri Sembilan.
Hal ini membuatkan Rizman sedikit bengang kerana dia mahu sampai ke rumah awal untuk bersahur bersama keluarga.
Dalam keresahan, dia meneruskan perjalanan sebelum jalan kembali ‘lega’ selepas memasuki kawasan Seremban.
“Awalnya, saya ingatkan semua orang berfikiran seperti saya untuk pulang lewat. Namun, rupanya kesesakan di Nilai itu berpunca daripada kemalangan jalan raya.
“Teruk juga kejadian itu. Saya lihat ada darah di atas jalan dan sekujur badan yang ditutup dengan surat khabar,” ujarnya.
Selepas itu, Rizman berhenti sebentar di kawasan rehat dan rawat (R&R) di Seremban untuk ke tandas. Kebetulan di situ dia mendapat panggilan daripada ibunya.
Cerita Rizman, ibunya ada bertanya tentang perjalanan dan kesesakan dialami.
Dia juga ada menceritakan tentang kemalangan maut di Nilai.
Hal itu membuatkan ibunya risau dan menyuruh Rizman supaya berehat dahulu di R&R, sebelum menyambung kembali perjalanan pada waktu siang.
Oleh kerana tidak mahu sampai lewat, Rizman memberitahu ibunya bahawa dia akan meneruskan perjalanan pada malam itu juga, sebelum mematikan telefon.
“Saya meneruskan perjalanan melalui laluan Bukit Putus. Namun setibanya di sana, saya terkejut kerana jalan sesak dengan kenderaan dan tidak bergerak.
“Saya cuba mengharungi kesesakan itu, namun setelah sejam saya hanya sampai ke persimpangan jalan Bukit Putus lama.
“Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk melalui jalan Bukit Putus lama,” kongsinya.
Selain Rizman, ada beberapa buah lagi kereta yang mengikuti jalan tersebut bersamanya.
Ternyata, perjalanannya melalui laluan itu lancar kerana tidak banyak kereta melalui jalan Bukit Putus lama.
Katanya lagi, jalan lama itu memang jarang digunakan, malah ketika dia melaluinya, kawasan itu sunyi dan hanya ada beberapa kereta di depan.
Tanpa disedari oleh Rizman, kereta di depannya tiba-tiba sudah tidak kelihatan dan dia sendirian melalui selekoh-selekoh tajam di jalan tersebut.
Tidak lama selepas itu, dia ada terbau sesuatu yang hanyir seperti darah. Biarpun takut, namun dia cuba memberanikan diri untuk meneruskan perjalanan.
“Saya cuba melajukan kenderaan untuk mengejar kenderaan di depan, tetapi tidak ada kelibat kereta pun kelihatan.
“Kemudian, saya sedar sudah lama saya melalui jalan tersebut, masih tidak sampai ke persimpangan keluar ke jalan utama,” ujarnya.
Dia mula cemas dengan keadaan itu dan cuba membaca ayat-ayat al-Quran untuk melindungi diri daripada gangguan makhluk halus.
Tidak lama kemudian, dia dapati ada kelibat kenderaan yang berhenti di tepi jalan.
Awalnya, dia agak lega tetapi perasaannya kembali cemas selepas melihat ada susuk lelaki tanpa kepala dalam kereta itu.
Rizman yang takut terus menekan pedal minyak untuk meneruskan perjalanan, mulutnya tidak henti-henti membaca ayat Kursi supaya dilindungi daripada perkara tidak diingini.
Tidak lama kemudian, Rizman menemui jalan keluar, sekali gus membuatkan hatinya lega kerana melihat banyak kenderaan di jalan raya.
Selepas tiba di kampung, Rizman menceritakan perkara itu kepada ibunya.
Ibunya memberitahu, hal itu mungkin berlaku disebabkan badi melihat kemalangan dan mayat mangsa kemalangan.
Malah, jalan Bukit Putus lama memang dikenali sebagai kawasan seram kerana pelbagai kisah mistik dan kemalangan ngeri.














