fbpx

Jual lemang mentah, cerminan peniaga tak amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WARTAWAN EKSEKUTIF KOSMO! DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

SEJAK hari pertama sambutan Aidilfitri, ramai warga maya berkongsi rasa ‘geram’ dengan peniaga lemang yang tergamak menjual juadah mentah.

Jika terlebih bakar sehingga tepinya berkerak atau keras, mungkin boleh diselamatkan dengan membuang bahagian itu tetapi kalau mentah ke tong sampahlah jawabnya.

Apa yang membuatkan ­pelanggan lebih ralat adalah harga lemang yang dibeli mencecah RM20 sebatang dengan saiz standard.

Jumaat lalu, tular seorang penjual lemang di Melaka mengamuk sehingga memukul pelanggannya menggunakan buluh selepas berang dituduh menjual lemang tidak masak. Lelaki itu telah ditahan pada tengah malamnya.

Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, peniaga lemang berusia 41 tahun itu boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mengapa boleh berlaku insiden sebegini, adakah peniaga ini tidak amanah dan tergesa-gesa mahu menjualnya pada waktu kemuncak minggu pertama raya ini, sebelum orang kembali pada rutin biasa dan bekerja?

Adakah kerana kononnya ­telah mahir dan berpengalaman, jadi hanya sekadar mengagak lemang dibakar sudah masak tanpa memeriksanya secara teliti?

Eksekutif Akademik (Pengajian Islam) Pusat Pengajian Diploma Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space Kuala Lumpur, Syed Husaini Syed Hassan berkata, unsur reda terhadap jual beli adalah sangat penting dan dituntut dalam Islam.

“Seorang peniaga misalnya tidak boleh memaksa seorang yang lain membeli barang daga­ngannya dan begitu juga si pembeli ada hak untuk memilih.

“Begitu juga seorang pembeli boleh tawar menawar sehingga mencapai kesepakatan bersama penjual. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah al-Nisā’, ayat ke-29;

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu,” katanya.

Tambahnya, antara sifat yang sangat dituntut oleh seorang peniaga adalah amanah dan perkara itu banyak disebutkan dalam hadis Nabi SAW sehingga Baginda menyebutkan peniaga yang amanah akan dikumpulkan bersama para nabi, golongan yang benar dan para syuhada di akhirat kelak.

“Amanah akan menjadikan seorang peniaga itu jujur dalam jual beli, jika terdapat kecacatan atau keaiban pada barang dagangan, maka hendaklah dijelaskan kepada pembeli agar pembeli tidak merasa tertipu.

“Amanah juga akan menjadikan seseorang peniaga itu lebih bertanggungjawab dalam menjaga kualiti barangan perniagaannya agar dapat menjamin kepuasan hati pelanggan,” ujarnya.
Husaini turut menekankan, menipu dalam apa sahaja bentuk adalah dilarang di dalam Islam

“Sebagai peniaga muslim, perbuatan menipu di dalam jual beli wajib dijauhi. Meskipun jual beli berlaku dengan penipuan, peniaga harus sedar bahawa sumber keuntungan tersebut adalah dari jalan yang haram dan ia akan memberikan kesan kepada kehidupan seseorang itu.

“Ingatlah pesan Nabi SAW; Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api nerakalah yang lebih layak bagi­nya. (Hadith sahih riwayat al-Tirmizi). Wallahu a’lam,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI