fbpx
Gambar hiasan

Tidak dapat kerja kerana gemuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Individu yang mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti terpaksa berdepan dilema berpanjangan apabila mereka dikatakan sukar mendapat pekerjaan yang ditawarkan oleh majikan.

Lebih membimbangkan apabila golongan ini turut mengalami masalah untuk mendapat kepercayaan daripada majikan atau diberikan jawatan tetap disebabkan beberapa faktor terutama melibatkan saiz badan.

Rata-rata daripada individu obes yang ditemui Kosmo! mengakui, cabaran untuk mendapatkan pekerjaan bukan hanya dalam bidang profesional, tetapi turut merangkumi sektor lain seperti tukang masak, operator pengeluaran mahupun sebagai pekerja am.

Atas sebab itu, sebahagian besar daripada mereka memilih untuk bekerja sendiri tanpa terikat dengan mana-mana majikan.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2019, terdapat kira-kira 50.1 peratus rakyat negara ini mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Ini bermakna, satu daripada dua rakyat dewasa negara ini sedang mengalami masalah obesiti.

Seorang peniaga kuih dikenali sebagai Firdaus, 38, berkata, dia sememangnya berdepan kesukaran untuk mendapatkan sebarang pekerjaan sama ada dalam sektor kerajaan, swasta, penghotelan mahupun dalam industri pembuatan dan perkilangan.

Malah, dia yang mempunyai berat badan mencecah 220 kilogram mendakwa telah menghantar lebih 20 permohonan sejak 13 tahun lalu, namun tiada satu pun yang diterima oleh majikan.

“Susah betul nak dapat kerja tetap. Orang macam kami (obesiti), majikan kata cepat penat. Belum terima apa-apa kerja, mereka sudah boleh menilai ke­upayaan kami.

“Bukan setakat itu, mereka juga memberi pelbagai alasan seperti sukar mendapatkan saiz baju dan kasut selain bimbang kami mengganggu pekerja lain.

“Saya pernah bekerja sebagai tukang cuci pinggan di sebuah hotel selama tiga bulan dan terpaksa berhenti selepas majikan tiba-tiba memaklumkan bahawa khidmat saya tidak lagi diperlukan, “ katanya ketika ditemui Kos­mo! baru-baru ini.

Firdaus pernah menghantar lebih 20 permohonan untuk mencari kerja.

Mengulas mengenai berat badannya itu, Firdaus memberi­tahu, obesiti yang dialami merupakan penyakit genetik yang mana moyang dan neneknya juga mempunyai berat badan melebihi 200 kilogram.

“Ada yang kata, individu obersiti ini bukan hanya sukar dapat kerja, tetapi juga sukar mendapatkan jodoh. Bagi saya, obesiti bukan penghalang untuk mencari pasangan hidup. Ramai kawan-kawan obesiti sudahpun berkahwin dan mempunyai ramai anak,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga dikenali sebagai Shila, 46, berkata, tiada istilah malas untuk golongan obesiti memandangkan keadaan ekonomi ketika ini memaksa semua orang untuk memiliki sumber kewangan yang mencukupi.

“Hentikan kecaman terhadap golongan obesiti. Kami bukan malas dan gelojoh, kami juga tidak meminta memiliki bentuk badan sedemikian.

“Saya berharap agar pihak berkaitan khususnya agensi kerajaan dan swasta menyediakan peluang pekerjaan serta menerima golongan seperti kami demi kelangsungan hidup,” katanya yang mencari rezeki dengan berniaga.

Dalam pada itu, seorang lelaki obersiti dikenali Roy, 37, berkata, berat badannya yang mencecah 155 kilogram menyebabkan dia berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.

Katanya, dia pernah membuat permohonan untuk bekerja dalam bidang perhotelan, logistik dan kantin hospital, namun semuanya tidak diterima hanya disebabkan masalah pada saiz badannya.

“Saya tidak sedih atau kecewa sebaliknya menganggap rezeki saya belum ada untuk bekerja dalam sektor berkenaan. Memang ada impian untuk mendapatkan bentuk badan yang ideal, tetapi perkara itu perlu dilakukan secara berperingkat.

“Cumanya, saya agak sedih apabila ada stigma yang mengatakan golongan obesiti seperti kami ini tidak layak untuk be­kerja seperti orang lain,” ujarnya yang sudah berumah tangga.

Justeru, Roy berharap agar semua majikan memberi peluang kepada individu sepertinya untuk mencari rezeki di pelbagai sektor tanpa ada sikap berat se­belah atau diskriminasi.

“Saya juga ada komitmen dan perlu mencari kerja tetap. Bagaimana hendak tampung keluarga jika tiada sumber pendapatan?,” soalnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN