DUA hero kesayangan ramai, Datuk Rosyam Nor dan Zamarul Hisham menjadikan sambutan lebaran tahun ini terisi dengan segunung kegembiraan, apatah lagi dapat berhimpun seisi keluarga besar mereka pada 1 Syawal lalu.
Dikelilingi wajah-wajah kesayangan pada hari istimewa tentu saja meninggal memori indah tambahan pula apabila semua anak cucu dapat pulang berhari raya.
Biarpun kedua-dua susuk lelaki popular ini anak jati Kuala Lumpur yang tidak pernah merasai pengalaman bersesak di lebuh raya untuk pulang ke kampung, mereka tetap menyimpan nostalgia raya tersendiri yang mahal untuk dikenang.

Raya terindah Rosyam
Aktor penuh wibawa, Rosyam tidak dapat melupakan kenangan raya paling indah yang pernah dilalui semasa zaman kanak-kanak.
“Kenangan raya paling manis saya adalah ketika zaman tinggal di rumah setinggan. Apabila duduk dalam kelompok masyarakat yang serba kekurangan, raya adalah satu festival untuk kami bermewah-mewahan.
“Maksudnya, paling tidak setiap rumah akan menyediakan menu istimewa dan kami akan berkunjung untuk makan sedap di setiap buah rumah,” kata pelakon yang menaik taraf dirinya menjadi usahawan berjaya itu.

Ketika menjalani kehidupan serba cukup, Rosyam atau nama lengkapnya Mohamed Noor Shamsuddin menadah kesyukuran mengenangkan pengalaman berharga sewaktu kecil dahulu.
“Adik-beradik saya ada lima lelaki dan seorang perempuan yang bongsu. Kami anak lelaki akan menghias rumah mengikut apa ada.
“Apa sahaja dalam keadaan sukarnya hidup, kami boleh timbulkan kebahagiaan dan itu memori paling indah, nikmat Ilahi.
“Nikmatnya kehidupan walaupun ketika itu orang nampak kami susah,” aktor berusia 56 tahun itu bernostalgik.
Tanggungjawab besar
Biarpun kehidupan sekarang sangat selesa, aktor bergelar penerbit itu mengakui menggalas tanggungjawab jauh lebih besar kepada keluarganya.
“Kini, kehidupan saya lebih selesa tetapi mempunyai tanggungjawab yang besar kepada adik-beradik dan anak-anak. Orang tua kata, besar periuk, besar keraknya. Jadi, cara berbelanja pun mengikut keadaan.
“Kalau dulu berbelanja RM10 sahaja tetapi sekarang RM100. Itulah kehidupan. Mungkin keselesaan lebih tetapi perkaranya sama sahaja,” ujarnya.
Berbeza kini, Rosyam lebih memahami perasaan sebagai ibu bapa yang menunggu kepulangan anak-anak ke kampung.
Meskipun anak-anaknya tinggal di Kuala Lumpur (KL), tetapi dia teruja merasai pengalaman tersebut.
“Bezanya sekarang saya yang ternanti-nantikan suasana malam raya kerana sudah faham bagaimana perasaan orang tua yang menanti kepulangan anak.
“Meskipun anak dan menantu saya berada di KL tetapi saya sendiri mahu melihat suasana malam raya.
“Sekejap sahaja memori tersebut kerana hari esoknya mereka sudah balik ke rumah masing-masing,” jelasnya yang baru sahaja menimang cucu keenam beberapa minggu lalu.

Zamarul hias rumah sendiri
Aidilfitri tentunya tentang keluarga, tiada yang lebih utama selai bersatu dengan orang tua dan insan tersayang. Perasaan sama dikongsi aktor versatil Zamarul Hisham yang bersyukur dapat kembali berhimpun bersama sanak-saudara, sementelah selama ini masing-masing sibuk dengan urusan kehidupan.
Katanya, pada usia yang sudah melepasi separuh abad, keterujaan raya tentu saja berbeza berbanding orang muda. Keutamaan kini lebih kepada keluarga, terutama lima anak serta suri harinya, Diana Rafar.

“Persediaan hari raya tentu saja diuruskan isteri tercinta yang tahu selera anak-anak dalam memilih persalinan untuk digayakan pada 1 Syawal mahu pun untuk hari seterusnya.
“Tetapi sebagai suami kita pun jangan lepas tangan, sebaliknya kena sama-sama ‘turun padang’ sama ada ketika membeli belah, mahu pun menolong apa yang patut bagi meringankan beban orang rumah,” katanya.
Bagi bintang drama viral Saat Hilang Cintamu itu, tanggungjawab menghias kediaman juga terletak di bahunya sejak dahulu lagi memandangkan kerjaya lainnya berkaitan rekaan dalaman.
Akui Zamarul, pengalaman terbabit dalam bidang hiasan dalaman memberi ruang kepadanya untuk bereksperimentasi meletakkan susun atur perabot atau perincian hiasan tambahan di rumah sendiri.
“Sebenarnya saya pernah bertugas sebagai pereka grafik sebelum terbabit dalam bidang hiasan dalaman secara profesional menerusi penubuhan sebuah syarikat berkaitan.
“Jadi bukan disebabkan nak raya saja saya suka berkemas, sebaliknya setiap kali mood atau idea muncul saya terus ‘make over’ bahagian tertentu kediaman, terutama di ruang tamu.
“Mungkin untuk menyambut kehadiran tetamu sepanjang Aidilfitri ini dekorasi sedikit istimewa, tetapi paling utama jangan membazir. Kena berhemah berbelanja,” ulasnya.
Tambah ahli keluarga
Menurut aktor yang kembali menjadi sebutan itu lagi, hari raya mereka sekeluarga lebih meriah apabila anak sulungnya, Izzat Haiqal, 24, bergelar suami orang pada Februari lalu.
“Ahli keluarga sekarang sudah bertambah selepas anak sulung saya mendirikan rumah tangga dua bulan lalu.
“Kiranya dengan kehadiran menantu menambahkan lagi seri hari raya kami sekeluarga.
“Kami hanya berada di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sahaja kerana keluarga saya tinggal di sekitar Bangi, manakala Diana pula Shah Alam. Tak perlu menempuh kesesakan,” kongsi aktor berusia 52 tahun itu.














