fbpx

Baju tahun lepas pun tak habis pakai – Che Ta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHE TA

KISAH persiapan dan sambutan raya selebriti tidak lengkap tanpa menyelongkar almari dan serta koleksi cerita pelakon jelita, Rozita Che Wan atau mesra disapa dengan panggilan Che Ta.

Setiap kali lebaran, Che Ta pasti tidak terlepas daripada menjadi tumpuan lensa kamera. Tentunya jumlah persalinan raya yang digayakan wanita yang juga merupakan usahawan berjaya itu juga tidak pernah membosankan untuk diungkit.

Entah disebabkan faktor usia atau kesibukan, pemilik nama lengkap, Rozita Abu Bakar itu bagaimanapun memaklumkan, Aidilfitri kali ini disambut tanpa berlebihan, namun tidak kalah gaya seperti tahun-tahun sebelumnya.

GAYA raya Che Ta kali ini berterusan dengan persalinan busana tahun lalu yang belum terusik.

“Asalkan dapat beraya bersama keluarga tersayang, itu sudah mencukupi buat saya. Meriah sambutan hari raya kali ini kebetulan adik-beradik semua balik beraya di Alor Setar, Kedah.

“Tentang persalinan baju raya sama sahaja macam koleksi tahun lepas. Tapi, baju tahun lepas pun banyak lagi yang tak sempat pakai.

“Jadi, kita sambung pakai baju raya tahun lepas. Tetap bergaya sebab raya ini bukan hari-hari. Kita sambut dengan rasa teruja, namun pada masa sama, tetap ingat orang yang memerlukan.

“Cakap tentang raya, tanggungjawab bukan untuk keluarga sahaja. Setiap tahun saya tak pernah lupa bawa orang gaji pergi ‘shopping’ baju raya.

“Memang dah jadi rutin sebab mereka banyak berjasa dengan keluarga saya,” katanya kepada HibGlam.

Cuma satu yang terbungkam di dada pelakon Kiah Pekasam itu apabila hajat menghabiskan 10 Ramadan terakhir di Tanah Suci bagi mengerjakan umrah tidak terlaksana.

“Kalau ikut perancangan awal, nak pergi umrah 10 malam (Ramadan) terakhir tapi tiada rezeki. Sebab tak rancang betul-betul.

“Tapi, tidak mengapa mungkin kita panjangkan niat tersebut untuk hari mendatang. Insya-Allah. Ada rezeki dan kelapangan pada kemudian hari.

Keji kontroversi mengarut

“Raya tahun ini saya teruja lain macam. Sebab balik Alor Setar dan berkumpul ramai-ramai. Bukan selalu dapat begitu.

“Sebelum ini kita ada saki-baki sikit terkurung sebab pandemik Covid-19. Apa pun, dalam pada kita menyambut hari kemenangan, jangan dilupa kes Covid-19 semakin menular disebabkan varian baharu.

“Sama-samalah kita jaga kesihatan dan keselamatan kita semua. Kalau rasa diri tak sihat, pakai pelitup muka. Tak nak dah kena berkurung macam sebelum ini. Serik dah,” ujarnya lagi.

Dia dan keluarga beraya di kampung halaman Alor Setar, Kedah dan pernah tersekat dalam kesesakan jalan raya selama tujuh jam walaupun perjalanan sudah dirancang.

Sementara itu, berbicara tentang trend sebilangan personaliti media sosial yang terlampau gilakan publisiti sehingga sanggup membelakangkan adab dan budaya, pelakon berusia 52 tahun ini sempat menitipkan pesanan.

Katanya, dia sendiri tak faham mengapa sebilangan individu sanggup merendahkan maruah sendiri demi secebis publisiti yang hanya bersifat sementara dengan mencipta kontroversi mengarut.

“Saya sendiri rasa keji dengan mereka yang terlalu lapar publisiti murahan. Hilang semua adab.  Saya faham mereka nak jual produk tapi tolonglah, benda-benda begini memang tak kekal lama rasanya.

“Lambat-laun orang akan lupa apa yang mereka cuba ‘suap’ kepada umum. Memang takkan kekal lama. Jangan mimpi sebab orang mual dah dengan benda-benda murahan,” tegasnya.

Lidah sampai ke lantai

Sebelum menggulung bicara, Che Ta sempat berkongsikan perkembangan seni terkini. Katanya, pada usia sekarang dia ingin banyak berehat daripada terus-menerus menyahut tawaran berlakon.

Che Ta mual dengan publisiti murahan dicetuskan sebilangan orang yang terlalu lapar kontroversi sengaja dicipta.

“Banyak benda nak dikerjakan terutama bisnes. Lakonan tiada sangat. Masa bulan puasa ada beberapa tawaran tapi saya tolak sebab penat sekarang.

“Dah tua tak larat nak berlakon bulan puasa. Lidah dah sampai ke lantai (ketawa). Banyak yang bercanggah dengan jadual. Apapun, saya ucapkan selamat hari raya buat semua orang. Jaga diri dan ‘stay vogue’!,” ujar Che Ta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI