SENGKANG beberapa detik sahaja sebelum gema Aidilfitri bersahutan-sahutan meraikan bulan kemenangan bersama, setiap insan pastinya sedang dalam debar dan teruja bersulam penuh rasa kesyukuran. Tiga wajah penuh pesona, Sharifah Rose, Amir Masdi dan Nadhir Nasar berkongsi kemanisan raya tahun ini yang bersulam antara rutin serta keinginan yang belum kesampaian.

Raya anak bandar
TANPA kampung halaman, si cantik Sharifah Rose tetap teruja bercuti dan menyambut hari raya bersama keluarga tersayang di Kuala Lumpur (KL).
“Saya akan beraya di rumah nenek di Kuala Lumpur. Cemburu juga tengok kawan-kawan beraya di kampung halaman masing-masing.
“Saya memang orang sini (KL) dan lahir di Shah Alam. Sudah biasa sambut raya di bandar tapi kadang-kadang nak juga jadi orang lain merasai pengalaman raya di kampung,” kata jelitawan 25 tahun sebagai mukadimah bicara.
Keinginan menyambut lebaran tahun ini sangat membuak-buak buat Rose atau nama sebenarnya, Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd. Mazfira memandangkan Aidilfitri dua tahun sebelum ini, kondisi tubuhnya kurang memberi kerjasama.
“Teruja sangat nak raya bersama keluarga tahun ini, sebab dua tahun sebelum ini, saya kena Covid-19,” ujar pengasas jenama tudung, Harīrose itu.
Seronok beraya, pelakon drama Alice Kampung Baru itu turut menitipkan pesanan buat orang ramai agar tidak melupakan umat Islam yang diuji di negara-negara bergolak seperti Syria dan Palestin.
“Dalam pada kita ketawa bersuka ria, jangan dilupa ada saudara kita yang dibedil dengan bom dan kediaman mereka dimusnahkan tentera Zionis.

“Bukan nak mematikan semangat menyambut lebaran tetapi sebagai peringatan buat kawan-kawan di luar sana bahawa dunia sekarang tak semuanya indah buat semua orang,” jelas Rose.
Mengusik Rose dengan soalan ‘cepu emas’ raya, tentang jodoh yang sering mengisi bicara bersama sanak-saudara, bagaimana mengendalikan emosi mencari jawapan yang tidak tersedia dalam balang biskut tersebut, Rose hanya tertawa.
Katanya, banyak lagi perkara yang ingin digapainya sebagai seorang wanita berkerjaya sebelum menjawat peranan sebagai seorang isteri.
“Saya percaya rezeki untuk berkahwin akan sampai bila tiba waktunya. Ibu bapa saya pun tiada paksaan atau ‘kenenkan’ dengan anak kenalan mereka. Mereka nak saya kejar cita-cita, simpan duit banyak-banyak dahulu.
“Bila ada calon yang sesuai, saya mungkin tidak akan bekerja seperti sekarang. Nanti dah kahwin, prioriti akan berubah. Suami adalah keutamaan. Kalau dah ada anak, tumpuan perlu diberikan dengan adil dan saksama untuk anak-anak pula,” terang Rose.

Amir teruja jumpa keluarga
Keceriaan Aidilfitri turut dikongsikan penyanyi Amir Masdi yang teruja berkumpul bersama seluruh ahli keluarga menyambut raya pada tahun.
“Perkara yang paling dinantikan semasa raya adalah dapat berkumpul bersama-sama satu keluarga.
“Sebelum ini, hanya saya dan emak di rumah memandangkan dua adik saya berada di asrama. Manakala kakak sudah berkahwin, ayah pula saya bekerja di Sarawak.
“Kami tidak dapat berkumpul tiap minggu, jadi raya adalah peluang untuk kami berada di bawah satu bumbung yang sama,” luah Amir gembira.
Bercerita lanjut, penyanyi berambut panjang itu menceritakan pengalaman raya yang tidak boleh dilupakan.
“Memori yang tidak boleh dilupakan sepanjang menyambut raya adalah apabila pertama kali memberi duit raya kepada keluarga.
“Saya mula memberikan duit raya ketika pertama kali bekerja dan semasa itu saya tersedar bahawa saya sudah bekerjaya.
“Memang satu memori bermakna yang tidak dapat dilupakan. Masa kecil, saya menerima duit raya tetapi kini sudah berbeza,” jelas Amir.

Pusing 3 negeri
Amir yang beraya di Kuala Lumpur, Perak dan Melaka tidak sabar untuk pulang ke kampung melepaskan rindu serta makan makanan masakan neneknya.
“Selain memori, saya sangat ternanti-nanti nasi impit kuah kacang yang nenek saya buat.
“Dia punya kuah kacang memang sedap yang tidak dapat di mana-mana walaupun rupanya sama seperti lain.
“Saya pernah cuba di tempat lain tetapi, kuah kacang yang dihidangkan nenek di Melaka memang buat saya tambah berkali-kali,” tuturnya.

Kemenangan sebenar Syawal Nadhir
BUAT bintang muda yang sedang meniti arus populariti, Nadhir Nasir, sambutan Hari Raya Aidilfitri disifatkan sebagai keraian bulan penuh kemaafan yang terungkap dengan penuh keikhlasan daripada setiap individu.
“Bagi orang lain, lebaran mungkin menyambut kemenangan tetapi definisi lebaran bagi saya ialah memaafkan antara satu sama lain dengan seikhlas hati.
“Memang kita selalu ucapkan perkataan maaf setiap hari tetapi perkara itu memberi makna yang besar dan berbeza pada hari raya,” kata pemilik nama penuh Ahmad Nadhir Ahmad Nasar itu.
Pelakon semakin meledak popular menerusi drama Projek: High Council (PHC) itu juga berharap setiap umat Islam yang menyambut Aidilfitri lebih terbuka hati untuk memaafkan mana-mana pihak yang pernah menggores hati.
“Kemaafan yang dihulurkan pada hari raya lebih kepada jiwa dan menyentuh hati kerana keikhlasan tersebut sangat terasa.
“Saya harap pada hari raya nanti, setiap individu lebih membuka hati untuk saling memaafkan antara satu sama lain,” ujarnya yang menyambut raya setiap tahun di Kuala Kangsar, Perak.

Hargai raya
Mencecah usia 27 tahun, juara pertandingan Hero Remaja 2020 itu mengakui banyak momen yang dirindui setiap kali menjelmanya Syawal, terutama memori ketika zaman kanak-kanak.
Baginya, momen sebegitu tidak akan dapat diputar atau dimiliki lagi sebaliknya hanya mampu kekal diingati sehingga hari ini.
“Banyak kenangan manis sebenarnya tetapi itulah putaran hidup. Perkara lama pasti akan hilang mengikut peredaran zaman.
“Cuma, nasihat saya kepada generasi muda, rehat sebentar daripada media sosial pada hari raya terutama Syawal pertama. Berilah masa untuk diri sendiri menikmati hari raya.
“Itulah hari yang paling seronok sebenarnya kerana dapat berkumpul dan mengenali sanak-saudara dengan lebih rapat.
“Percayalah, apabila sudah dewasa nanti, semua momen itu akan sangat dirindui,” jelasnya.
Berkongsi keseronokan raya, aktiviti membakar lemang resipi turun-temurun merupakan rutin yang paling dinanti-nanti setiap kali menjelang Syawal.
“Momen paling saya tak sabar ialah tiga hari sebelum raya kerana akan mula bakar lemang sendiri bersama ahli keluarga lain.
“Istimewanya, kami menggunakan resipi arwah nenek dan memang tak beli kerana buat sendiri. Paling ‘padu’ bila nikmatinya dengan rendang dendeng,” katanya teruja.
Ditanya persediaan sekiranya rumahnya diserbu peminat, Nadhir mempunyai perancangan untuk mengadakan rumah terbuka di sebuah lokasi yang bakal menggabungkan semua pelakon PHC.
“Ada perancangan untuk adakan rumah terbuka di sebuah dewan bersama pelakon PHC lain. Memang ada dalam ‘bucket list ‘ketika ini.
“Sekiranya rancangan itu berjaya direalisasikan, kami akan kongsikan kepada para peminat,” ujarnya lagi.















