fbpx

Quran Pondok Buruk kembali imbau nostalgia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PULUHAN naskhah telefilem dan drama raya dihidangkan untuk tatapan penonton televisyen menjelang raya.

SETIAP kali tibanya sambutan Aidilfitri, bukan sahaja baju, makanan dan juadah pembuka selera menjadi hidangan buat meraikan hari kemenangan, stesen televisyen juga bersaing penuh semangat kebersamaan dan kemeriahan menyerikan Syawal dengan variasi naskhah hebat, khas untuk jamuan mata dan nurani semua.

MENERUSKAN kesinambungan Pondok Buruk 1 dan 2, tahun ini naskhah hebat nukilan Rashid Sibir kembali meruntun hati dengan Quran Pondok Buruk siaran Astro.

Drama hebat kembali

Membawakan tema Bukalah Hati, Astro menerusi beberapa saluran, termasuk digital dan radio menyajikan variasi program hebat sepanjang musim raya.

Antara kandungan yang dinantikan ramai adalah Quran Pondok Buruk lakonan hebat Datuk Rosyam Nor, Fauziah Nawi, Vanidah Imran dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Drama arahan Rashid Sibir tersebut merupakan kesinambungan daripada telefilem legenda Pondok Buruk 1 dan 2 mengisahkan obsesi tiga adik-beradik derhaka yang terdesak memohon keampunan daripada ibu mereka yang telah meninggal dunia.

Naskhah meruntun jiwa itu bakal ditayangkan pada malam raya iaitu 21 April, pukul 8.30 malam.

Astro turut membawa beberapa drama genre komedi sepanjang Syawal ini seperti Sumpahan Peti Ais lakonan Sherry Alhadad, Didie Alias dan Sharifah Sakinah.

Drama berkisarkan menantu yang disumpah menjadi peti ais kerana derhaka kepada ibu mentuanya itu ditayangkan pada 22 April pukul 10 pagi.

Menerusi slot Gempak Originals penonton turut dihidangkan dengan drama Scammer Geng Marhaban mengisahkan dua beradik yang bersaing merebut hati seorang gadis yang hakikatnya seorang penipu.

Dibintangi Amir Ahnaf, Lorenzo Irman dan Ozlynn Waty, drama tersebut ditayangkan bermula 4 Mei pukul 11 malam.

Kehangatan raya diteruskan dengan naskhah komedi Bro Jenin lakonan hebat Remy Ishak dan Daiyan Trisha yang ditayangkan pada pukul 10 pagi raya keenam.

Mengisahkan Mat Jenin lakonan Remy terjatuh dari pokok dan tanpa sedar, dia telah merentasi masa dan dibawa ke tahun 2023. Berhadapan dengan kejutan budaya yang ekstrem, Jenin cuba untuk menyesuaikan diri sambil berusaha kembali ke zamannya.

Mampukah Jenin lakonan Remy Ishak yang terperangkap dalam zon era sekarang kembali ke zaman asalnya, semua itu bakal terjawab dalam Bro Jenin pada hari raya keenam nanti.

Variasi drama raya TV3

Tidak lengkap sekiranya sambutan Hari Raya Aidilfitri tanpa sajian drama menarik TV3. Antara yang menarik adalah drama Seindah Kasih lakonan Syafiq Kyle, Mimi Lana, Siti Saleha dan Anas Ridzuan.

Naskhah yang ditayangkan pada 23 April pada pukul 9 malam itu mengisahkan enam pemain industri hiburan yang menjalani tugasan harian mereka lebih mencabar pada bulan Ramadan dan Syawal.

Bakal meruntun jiwa, telefilem Maaf Terakhir yang ditayangkan pada hari raya pertama pukul 2 petang pula mengangkat seorang anak lelaki yang tidak pernah lekang meminta maaf dengan ibunya setiap hari untuk keberkatan hidup.

Hidupnya mula terjerat apabila berkenalan dengan seorang ustaz yang juga penunggang agama sehingga sanggup menipu demi mengejar kekayaan. Maaf Terakhir membariskan Izzue Islam, Normah Damanhuri, Nabila Huda dan Ashraf Muslim.

Menceritakan seorang banduan yang berusaha memberi kasih sayang buat anak lelakinya yang terpisah sejak lahir, telefilem hebat berjudul Demi Masa lakonan Faizal Hussein, Umar Shakur dan Nadiya Nisaa pula menyusul pada pada raya keempat di TV3.

MIMI LANA dan Syafiq Kyle bergandingan dalam Seindah Kasih di TV3.

RTM padat drama raya

Unit Drama TV RTM tahun ini pula membawakan beberapa telefilem hebat sepanjang Syawal seperti Durjana Pujaan yang disiarkan pada hari raya pertama pukul 9 malam yang menggandingkan pelakon terkenal Sabri Yunus, Zahiril Adzim, Azhan Rani dan Kazar.

Penonton setia RTM juga dihidangkan dengan tayangan telefilem tanpa henti selama empat hari bermula 1 Syawal iaitu Nak Salam Boleh? Doa Fatihah, Ikhlas dan Aku Tanpa Dia.
TV1 melengkapkan tirai Aidilfitri dengan drama bersiri khas Syawal iaitu Saya Tunggu Awak yang mengetengahkan pelakon utama Puteri Sarah Liyana, Azlee Khairi dan Amar Asyraf bermula 21 April pada pukul 6.45 petang.

Saya Tunggu Awak mengisahkan Ustazah Hanna Mardhiah mempertahankan kesetiaan terhadap suaminya yang serba kekurangan, namun diuji dengan tawaran cinta daripada jejaka lain dengan 1,001 kelebihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI