fbpx

SPRM siasat FAM berkait projek NTC Putrajaya bernilai RM25 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkaitan cadangan projek pembinaan National Training Center (NTC) di Putrajaya yang dianggarkan berjumlah RM25 juta.

Menurut sumber, setakat ini SPRM merakam percakapan seramai 14 saksi dan membuat pemeriksaan ke atas 10 premis yang berkaitan dengan isu tersebut.

Katanya, hasil siasatan ke atas projek pembinaan NTC mendapati peruntukan yang dikeluarkan adalah daripada sumber FIFA.

“Sebanyak tujuh kontraktor telah dipanggil untuk menyertai tender tersebut. Tiga syarikat disenarai pendek berdasarkan keupayaan dan tawaran yang ditetapkan dan mengikut spesifikasi FIFA.

“Ketiga-tiga syarikat telah dikemukakan kepada FIFA yang bermesyuarat pada 8 April lalu dan melantik sebuah syarikat untuk melaksanakannya,” katanya di sini, hari ini.

Sumber berkata, status semasa adalah penyediaan dokumen perjanjian kontrak oleh FAM hasil daripada keputusan pemilihan yang dibuat sendiri oleh FIFA.

Tambah sumber, siasatan kes FAM telah hampir siap dan akan dikemukakan kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan untuk kajian dan keputusan.

“Setakat ini, SPRM tidak menemui sebarang penyelewengan dan rasuah dalam kes berkaitan,” ujarnya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan bahawa siasatan menyeluruh dilaksanakan berhubung perkara ini.

“Sebagaimana yang dijelaskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pihaknya hanya memfokuskan kepada isu-isu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, namun menyerahkan kepada Bahagian Pendakwaan untuk sebarang keputusan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI