fbpx

Henti operasi pasar malam waktu maghrib hanya untuk peniaga Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
pasar malam

SUNGAI PETANI – Arahan kerajaan negeri supaya peniaga pasar malam menghentikan semua aktiviti perniagaan pada waktu maghrib bermula Rabu ini, hanya tertakluk kepada mereka yang beragama Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, penguatkuasaan arahan itu adalah selaras keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang bersidang pada 21 Februari lalu.

“Arahan ini dikuatkuasakan kepada aktiviti perniagaan pasar malam di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) atau swasta di seluruh negeri.

“Walau bagaimanapun, ia dikecualikan kepada peniaga bukan Islam khususnya pasar malam yang dianjurkan di kawasan sekitar rumah ibadat bukan Islam atau waktu perayaan bukan Islam dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Kata beliau, pengecualian sama turut diberikan kepada pasar malam yang terletak di kawasan didiami ramai penduduk bukan Islam.

“Bagi sebahagian kecil peniaga bukan Islam yang berniaga di pasar malam melibatkan ramai peniaga Islam, mereka digalakkan untuk menutup perniagaan. Kita juga tiada sebarang halangan jika mereka mahu meneruskan aktiviti perniagaan,” ujarnya.

Sementara itu, Mansor memberitahu, masa untuk menghentikan perniagaan adalah dalam tempoh 10 minit sebelum waktu maghrib dan 10 hingga 15 minit selepas bermula waktu solat itu.

“Arahan ini bertujuan untuk memberi laluan dan keselesaan kepada para peniaga dan pekerja Islam khususnya untuk menunaikan solat maghrib dalam tempoh tersebut.

“Solat maghrib boleh dilaksanakan di masjid dan surau berdekatan atau yang diaturkan atas inisiatif pihak penganjur di kawasan tersebut, selain mana-mana tapak kawasan yang dirasakan sesuai oleh peniaga,” jelasnya.

Tambahnya, tiada tindakan akan dikenakan kepada peniaga yang ingkar arahan itu kerana pihaknya masih dalam fasa mendidik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI