fbpx

Ibu naik bas jemput anak bebas penjara awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURUL (dua dari kanan) tidak dapat menahan sebak sebaik bertemu ibunya di Kompleks Penjara Sungai Udang, Sungai Udang, Melaka. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

MELAKA – Tiada kata yang dapat diucapkan oleh seorang ibu apabila dapat meraikan Hari Raya Aidilfitiri bersama anak perempuannya yang ditahan di Kompleks Penjara Sungai Udang sejak Februari lalu.

Wanita itu yang mahu dikenali sebagai Azza, 48, berkata, dia terkejut dan terharu apabila dihubungi Jabatan Penjara memaklumkan anaknya terpilih untuk menjalani pembebasan secara berlesen.

Katanya, dia sanggup mengambil cuti dan menaiki bas seawal pukul 8 pagi dari Bandar Tun Hussien Onn di Cheras, Selangor ke Melaka semata-mata untuk menjemput anak sulungnya itu pulang ke pangkuan keluarga.

“Kami tidak pernah berpisah sebelum ini. Bukan hati saya seorang yang terasa kosong, malah anak-anak lain juga sentiasa bertanyakan di mana kakak mereka berada.

“Saya berharap dia akan menghargai peluang yang diberikan terutama apabila melihat ibunya datang seorang diri untuk mengambilnya di penjara.

“Saya mahu dia berubah dan menyesal atas kesalahan yang telah dilakukan,” katanya ketika ditemui di Penjara Sungai Udang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Nurul, 30, berkata, dia sangat merindui wajah ibu serta dua orang anaknya yang berusia 14 dan 12 tahun.

Menurutnya, dia yang dijatuhi hukuman penjara sehingga 12 Mei depan atas kesalahan dadah tidak menyangka akan dibebaskan lebih awal dan berpeluang menyambut Aidilfitri dengan ahli keluarganya.

“Saya ingatkan akan menyambut Aidilfitri dalam penjara kerana tidak menjangkakan akan diberikan peluang istimewa sebegini. Saya berjanji tidak akan patah balik ke belakang dan berubah untuk diri sendiri, keluarga dan anak-anak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI