fbpx

Syamsul tidak jadi lafaz cerai Puteri Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syamsul dan Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah di sini sebentar tadi dikejutkan apabila pengarah filem kontroversi Syamsul Yusof tidak jadi menceraikan isteri pertamanya pelakon Puteri Sarah.

Berikutan tiada lafaz cerai daripada Syamsul, prosiding dijangka akan diteruskan dengan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas.

Dalam prosiding terdahulu, mahkamah sama telah menetapkan hari ini untuk Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Mahkamah menetapkan prosiding lafaz cerai dibuat hari ini selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian.

Bagaimanapun terma-terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut yang mana ia akan direkodkan.

Antara terma-terma penyelesaian yang dipersetujui ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.

Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4,.

Pada 24 Mac lalu, selepas proses JKP berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini mengatakan proses itu gagal menemui jalan penyelesaian.

Aktres itu berkata, tiada perkara yang perlu dirunding atau dibincangkan lagi memandangkan hatinya telah tertutup untuk berdamai selepas nekad mahu bercerai.

Sebelum itu, pada 7 Mac lalu, pasangan tersebut diperintahkan oleh mahkamah sama, supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie itu memerintahkan demikian selepas keengganan Syamsul untuk menceraikan isteri pertamanya itu.

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.

Antara alasan dikemukakan Puteri Sarah selaku plaintif untuk bercerai ialah sudah tiada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Syamsul pula selaku defendan sebelum ini memaklumkan enggan menceraikan isteri pertamanya kerana yakin rumah tangga mereka boleh diselamatkan, selain masih menyimpan perasaan sayang terhadap Puteri Sarah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI