fbpx

Pelajar cemerlang STAM 2022 mahu jadi tukang cuci Kaabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Zaurein (kiri) dan Muhammad Shahrul menunjukkan slip keputusan STAM yang diperoleh mereka di SMAT Tengku Ampuan Rahimah, Kuala Langat, hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

KUALA LANGAT – Walaupun dinobatkan pelajar Mumtaz Sofi iaitu keputusan amat cemerlang dalam Sili Tinggi Agama Malaysia (STAM), namun Muhammad Zaurein Rosman bercita-cita menjadi tukang cuci Kaabah pada masa akan datang.

Kata Muhammad Zaurein, 19, cita-citanya tersebut disematkan dalam dirinya sejak kecil lagi dengan mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapanya.

“Saya mahu dekatkan diri dengan Allah kerana dia adalah pencipta makhluk seluruh alam.

“Saya sanggup tunggu peluang ini (menjadi tukang cuci), kalau perkara ini tercapai 30 tahun akan datang. Saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau bersama rakannya, Muhammad Shahrul Nizam Mustapha dari Sekolah Menengah Agama Tinggi (SMAT) Tengku Ampuan Rahimah, Banting diumumkan pelajar Mumtaz Sofi oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Muhammad Zaurein menjelaskan dia tidak meletakkan soal gaji sebagai perkara utama dalam kriteria untuk memilih pekerjaan sebaliknya menganggap kerja adalah satu ibadah yang perlu ditunaikan dengan penuh tanggungjawab.

“Ada sahaja orang yang bergaji tinggi tidak mempunyai kehidupan tenang. Jadi, saya mahu memperoleh semua itu dengan rezeki yang berkat dan terus dekatkan diri dengan Allah,” ujarnya yang mahu menyambung pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) dalam negara sahaja.

Seorang lagi pelajar cemerlang STAM 2022, Muhammad Shahrul Nizam Mustapha, 19, berkata, dia mendediksikan keputusan Mumtaz Sofi yang diperolehnya kepada ibu bapa serta guru yang pernah mengajarnya.

Jelasnya yang mahu menjadi seorang guru agama ini berikutan mereka adalah kunci keberkatan hidup yang telah mendidik kita sehingga besar.

“Hormatilah ibu bapa dan guru, insya-Allah, kejayaan akan datang pada anda,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI