fbpx

MAIWP bantu pelajar pulang beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. DAUD (dua dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada pelajar yang akan pulang beraya di kampung.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sebanyak RM440,000 bagi Program Rahmah Ramadan MAIWP ‘Jom Balik Raya’ melibatkan 1,576 pelajar universiti awam (UA) di sekitar Lembah Klang.

Pelajar tersebut adalah dari Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang pulang ke kampung menaiki 45 buah bas melibatkan pelbagai destinasi ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, program julung kali yang diadakan empat universiti itu telah berjaya mengenal pasti pelajar paling terdesak untuk dibantu bagi membolehkan mereka pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

“Mereka ini terdiri daripada 500 pelajar UM (15 bas), 276 pelajar UTM (sembilan bas dan sebuah van), 320 pelajar UKM (sembilan bas) serta 480 pelajar UPNM (12 bas). Pelajar turut menerima wang saku untuk pergi dan balik berjumlah RM160 setiap orang.

“Sehubungan itu, saya mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat di Pusat Pungutan Zakat – MAIWP (PPZ-MAIWP) yang sentiasa membantu membayar zakat yang mana nilainya semakin bertambah dari tahun ke tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Program Rahmah Ramadan MAIWP ‘Jom Balik Raya’ di UM kelmarin.

Tambah beliau, pihaknya dimaklumkan bahawa ramai lagi pelajar mengharapkan mereka dibantu dan sehubungan itu, gerak kerja baharu akan dilaksanakan bagi program yang sama tahun hadapan.

“Kita diberitahu bahawa pelajar paling mendesak adalah dari Sabah dan Sarawak memandangkan kos penerbangan yang tinggi. Kita terlepas pandang kali ini dan insya-Allah akan cuba perbaiki kelemahan itu pada tahun hadapan. Kita akan fokus kepada yang jauh,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Daud berkata, sepanjang Ramadan ini, MAIWP mengagihkan pelbagai bantuan dan program kepada mereka yang memerlukan dengan melibatkan jumlah keseluruhan RM76,918,556.50. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI