fbpx

Laluan kecemasan antara Senai-Kulai boleh diguna sempena Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. -Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dibenar untuk menggunakan laluan kecemasan antara Senai dan Kulai sempena sambutan perayaan Aidilfitri, tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kebenaran tersebut melibatkan laluan sepanjang 8 kilometer (km) bagi kedua-dua hala.

MOHAMAD FAZLI memaklumkan laluan kecemasan sepanjang 8 km antara Senai dan Kulai dibenar untuk digunakan kenderaan sempena Aidilfitri ini.

Menurut beliau, perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa termasuk polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Sempena kedatangan Aidilfitri tahun ini, pihak berkuasa membuat keputusan membenarkan penggunaan laluan kecemasan lebuhraya Plus antara Senai dan Kulai, iaitu sepanjang jarak 8 km.

“Langkah itu diambil kerana lokasi itu dikenalpasti sebagai antara kawasan utama kesesakan jalan raya khususnya apabila tiba musim perayaan, jadi tujuannya adalah untuk mengurangkan kesesakan dengan melancarkan pergerakan kenderaan.

“Tarikh yang dibenarkan adalah sebelum Aidilfitri iaitu pada 20 dan 21 April serta selepas Aidilfitri iaitu pada 27 dan 28 April,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Pejabat Infra Desa di Southkey, di sini hari ini.

Tambah Mohamad Fazli, kebenaran tersebut bagaimanapun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan aspek keselamatan ditetapkan dalam Mesyuarat Koordinasi Aliran Trafik Negeri Johor Sempena Perayaan Aidilfitri 2023 pada 13 April lalu.

Katanya lagi, orang ramai turut diminta untuk mengikuti jadual perancangan perjalanan yang disediakan PLUS untuk mengelakkan kesesakan dalam tempoh tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI