fbpx

K2

Biru pekat serlah konsep minimalis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kombinasi rona putih dan biru pekat pada dinding berjaya menaikkan lagi seri di ruang tamu kediamanan ini.

ADAKALANYA, seni menghias kediaman tidak memerlukan konsep tertentu kerana apa yang penting pemiliknya berpuas hati dengan hiasan diterjemahkan.

Ini kerana, tatarias kediaman bersifat peribadi dan cukuplah apa yang diterjemahkan itu cantik pada mata pemiliknya.

Itulah prinsip yang dipegang pasangan suami isteri, Norzuraya Nordin dan suami, Mohd. Idzhar Zaidi Zulkifly melibatkan dekorasi kediaman jenis serviced apartment milik mereka yang dihuni sejak dua tahun lalu.

Bagi Norzuraya, kediaman yang terletak di Dengkil, Selangor itu tidak mempunyai konsep tertentu kerana hiasannya lebih kepada apa yang memenuhi cita rasa mereka.

“Sebenarnya, kami sendiri tidak mempunyai konsep yang tetap bagi rumah ini.

“Kami menggabungkan idea-idea daripada internet yang mampu memenuhi cita rasa hati,” ujarnya.

Norzuraya menambah, hiasan pada kediamannya itu mungkin lebih cenderung kepada konsep minimalis dengan sedikit sentuhan Scandinavian.

“Saya dan suami banyak memaksimumkan fungsi perabot dan menyusun aturnya dengan baik,” jelasnya.

Saat kaki melangkah masuk, pengunjung akan melihat gabungan rona putih dan biru pekat pada dinding ruang tamu.

Pemilihan warna biru itu berjaya menaikkan seri ruangan, lebih-lebih lagi apabila turut disuntik dengan sedikit rona keemasan.

Bagi pemilihan perabot pula, sofa warna kelabu menjadi pilihan yang turut dipadankan dengan langsir rona sama bagi menyuntik elemen senada.

PEMILIHAN kerusi dan meja makan kayu mampu menyuntik elemen klasik pada ruang makan.

Beberapa bingkai dengan motif abstrak pula diletakkan pada dinding ruang tamu yang polos sebagai penambah seri.

Menjengah ke ruang makan, dinding pada sudut kanan ruangan itu turut diwarnakan dengan rona biru.

Bagi ruangan itu juga, Norzuraya dan suami sepakat memilih meja dan kerusi makan kayu bagi menyuntik elemen klasik.

Hamparan permaidani warna hijau yang agak kontra dengan keseluruhan ruang pula berjaya menambah seri pada ruangan tersebut.

“Bagi saya, ruang yang paling menonjol pada kediaman ini adalah sudut cermin yang berada di tengah-tengah ruang meja makan dan ruang santai.

“Ia merupakan sudut yang menempatkan ‘wainscoting’ warna bold dan sedikit percikan warna emas,” katanya.

Bagi ruangan dapur pula, rona hitam menjadi pilihan yang dipadankan dengan warna asli kayu pada kabinet.

Pemilihan rona gelap pada ruangan itu menjadikan dapur kediaman nampak elegan dan mudah dibersihkan.

Tidak lokek berkongsi, Norzuraya berkata, dia menghabiskan sekitar RM30,000 bagi proses pengubahsuaian dan tatarias kediaman itu.

Begitupun, dia dan suami mengimpikan untuk menambah baik lantai jubin pada kediaman dan memperbanyakkan lagi elemen hiasan dalaman Scandinavian pada kediaman tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI