DEKORASI kediaman dengan gaya mid-century modern atau moden pertengahan abad merupakan antara gaya yang menjadi pilihan sesetengah pemilik kediaman, khususnya bagi pencinta gabungan rona bold dan rona tanah.
Dekorasi tersebut merujuk kepada dekorasi sekitar tahun 1950-an yang mana kebanyakan rumah pada ketika itu bermain dengan rona-rona tanah yang diserikan dengan padanan rona terang seperti jingga, kuning atau hijau zamrud, yang kemudiannya disesuaikan bersama perabot berbentuk geometri atau bujur.
Bagi Salsabella Haron, 32 dan suami, Afiq Piai, 32, konsep itu menjadi pilihan untuk diterjemahkan pada rumah jenis pangsapuri milik mereka yang dihuni sejak hampir tiga tahun lalu itu.
Salsabella atau lebih mesra disapa Bella memberitahu, dia dan suami amat menyukai konsep tersebut yang dianggap cukup kena dengan cita rasa mereka berdua.
“Saya meminati konsep sebegini dan banyak mengambil inspirasi daripada rancangan YouTube yang memaparkan pengubahsuaian rumah atau house makeovers.
“Selain itu, aplikasi Pinterest juga menjadi sumber rujukan saya sejak dahulu lagi, memandangkan sejak kecil saya sudah meminati kandungan berkenaan hiasan rumah,” katanya.
Tambah Bella, ibunya yang dahulu pernah menjual barangan hiasan rumah menjadi individu yang memperkenalkannya kepada dunia tersebut, sekali gus menanamkan minatnya untuk menghias rumah sendiri.

“Semasa saya kecil, saya kerap membantu ibu menjual barangan hiasan rumah dan dari situ juga, saya berkenalan dan bergaul rapat dengan rakan-rakan ibu yang juga merupakan ‘kaki’ dekorasi sepertinya,” jelas Bella.
Saat kaki melangkah masuk ke kediaman seluas 91 meter persegi itu, rona tanah akan menerpa anak mata, sekali gus mencipta suasana tenang.
Ruang tamu kediaman pasangan suami isteri itu berdekorasi ringkas, namun tetap menyerlahkan elemen 1950-an yang ditonjolkan menerusi penggunaan meja kopi dan kabinet televisyen.
Hamparan permaidani motif abstrak menaikkan seri ruangan tanpa menjadikan ia tampak serabut.
Ruangan meja makan keluarga pula menggunakan kerusi rekaan moden rona gelap.
Bingkai gambar pelbagai saiz pula menjadi hiasan ringkas, namun sedap dipandang pada sudut dinding ruangan itu.
Ujar Bella, ruang itu juga menjadi antara bahagian paling disukainya pada kediaman itu memandangkan di sebelah ruang makan, Bella menempatkan satu sudut cermin yang berkonsepkan ala bistro Itali.
“Jika diikutkan, semua ruangan di kediaman ini adalah ruang kegemaran saya, namun jika harus memilih satu, sudut ini paling saya sukai.
“Apabila sudut ini dihias menyerupai sebuah bistro di Itali, saat kami menjamu selera, feel itu sampai,” ujarnya berseloroh.
Tidak lokek berkongsi bajet menghias rumah, Bella memberitahu dia dan suami menghabiskan sekitar RM20,000 untuk membeli barangan hiasan.
“Jumlah yang dibelanjakan pada saya tidaklah begitu tinggi memandangkan kami belum melakukan sebarang renovasi besar.
“Buat masa ini kami berpuas hati dengan hasil dekorasi, namun berhasrat untuk melakukan pengubahsusaian pada bahagian dapur seperti memasang jubin baharu dan juga mewujudkan sebuah laundry area,” katanya menutup bicara.














