PALET warna hijau keemasan memberikan elemen elegan dan mewah apabila diterjemahkan ke dalam hiasan dalaman kediaman.
Emas sebagai simbol kemewahan meneutralkan rona hijau yang sering dikaitkan dengan rasa tenang dan berunsurkan alam semula jadi.
Biarpun tema itu jarang diterapkan dalam tata hias kediaman peribadi, namun pasangan suami isteri, Nur Nadiah Tazudin dan Mohd. Izhar Salleh berani menyahut cabaran itu.
Pasangan tersebut menggunakan warna tema seperti filem Crazy Rich Asian berkenaan untuk menghiasi rumah teres dua tingkat milik mereka di Kampar, Perak.
Menurut Nur Nadiah, warna hijau keemasan sememangnya minat mereka berdua sehingga sering mengumpul gambar hiasan dalaman bertema itu.
“Saya dan suami suka warna hijau dan keemasan. Kombinasi dua warna ini membuatkan rumah kecil kami tampak luas dan mewah.
“Ini secara tidak langsung membuatkan kami berasa tenang seperti berada di tempat percutian mewah setelah penat seharian bekerja,” katanya kepada K2.

Wanita berusia 30 tahun tersebut memilih untuk menggunakan warna hijau zamrud (emerald) dan keemasan pada dinding wainscotings di ruang tamu dan ruang makan.
Warna itu juga diterapkan pada pemilihan candelier kedua-dua ruang sekali gus menaikkan lagi seri kediaman berkeluasan 20 x 70 kaki persegi (130 meter persegi).
Oleh kerana kedua-dua ruang tersebut tidak memiliki pembahagi, penggunaan perabot dan aksesori yang senada diperlukan.
Penggunaan pelbagai jenis material seperti baldu, kayu dan aksen logam menambah lapisan tekstur dan tarikan visual kepada tata hias.
Bagi mencapai keharmonian itu, warna beige material baldu diterapkan pada sofa di ruang tamu dan pada kerusi meja di ruang makan.
Sofa berwarna hijau zamrud pula diletakkan bertentangan dengan dinding shiplap putih yang membelakangi tangga.
Di bahagian dapur pula, warna hijau pucuk pisang (lime green) menjadi warna dominasi untuk diselarikan dengan tema hijau keemasan.
Tambah pembantu operasi sekolah itu, perbezaan rona-rona hijau dipilih agar terdapat keseimbangan warna garang dan lembut.
“Saya fikir, sekiranya saya guna semua warna hijau zamrud, rumah saya akan jadi gelap. Oleh itu, saya cuba mix and match.
“Sebab itu saya pilih warna hijau pucuk pisang kerana ia memperlihat sisi lembut warna hijau dan sesuai dengan dapur saya,” katanya.
Mengulas berkenaan anggaran kos, Nur Nadiah berkata, anggaran kos ubah suai dalaman rumah lebih kurang RM20,000.














