fbpx
Konsep minimalis dengan warna putih dan kecoklatan cukup mendamaikan.

K2

Konsep Japandi cetus suasana hangat, damai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KONSEP hiasan dalaman Japandi sejak kebelakangan ini menjadi pilihan dekorasi popular dalam kalangan pemilik kediaman, khususnya bagi kediaman jenis apartmen dan kondominium.

Konsep minimalis dan serba ringkas gabungan Skandinavia dengan konsep Muji itu mampu menjadikan kediaman tampak lebih luas dan mendamaikan.

Bagi Mohammad Iman Talib, terjemahan konsep Japandi pada kediamannya yang terletak di ibu kota itu mencetuskan suasana damai.

“Konsep ini adalah gabungan daripada tema minimalis yang dipadukan dengan kehangatan dan kedamaian.

“Hasilnya, suasana ruang kediaman tampak redup dan cukup selesa sebagai sebuah ruang melepas lelah,” katanya.

Saat kaki melangkah masuk, rona coklat lembut dan putih mendominasi ruang tamu kediaman, mencipta suasana damai.

Pemilihan sofa rekaan moden yang polos dengan padanan perabot kayu rekaan ringkas menyerlah elemen Japandi yang menjadi pilihan Mohammad Iman.

Lantai rona coklat lembut yang dipilih juga membantu menjadikan ruang rumah tampak segar dan menyejukkan mata.

Kongsi Mohammad Iman, antara elemen paling mencabar tatkala menghias rumah dengan konsep idaman adalah mendapatkan jenis lantai SPC (stone plastic composite) yang sesuai buat kediaman.

Lantai SPC merupakan salah satu pilihan material yang digunakan sebagai penutup lantai asal.

“Pemilihan SPC perlu dibuat dengan betul memandangkan bentuk dan warnanya mampu memberi perubahan kepada keseluruhan ruang rumah.

Ruang tamu apartment dengan warna yang sangat menawan.

“Antara tip yang boleh saya kongsikan untuk menonjolkan lantai SPC pilihan anda adalah pastikan saiz perabot bersesuaian dengan keluasan rumah dan warna dinding sepadan dengan warna atau rekaan lantai SPC.

“Elakkan daripada tersilap membuat pilihan kerana jika anda mahu menukarnya, ia akan menelan belanja yang agak besar,” katanya.

Kongsi jejaka itu lagi, pencahayaan semula jadi yang terang selepas dia mengubah suai rumah tersebut menjadi rumah dengan dua ruang tamu telah membuatkan seluruh kediaman tampak memukau.

“Rumah ini pada asalnya merupakan sebuah rumah apartmen tiga bilik.

“Begitupun, selepas membelinya, saya mengubah suai ruang pemisah pada salah satu bilik bagi menjadikan rumah ini mempunyai dua ruang tamu, sekali gus menjadi lebih luas,” katanya.

Menjengah ke ruang makan kediaman, Mohammad Iman menyerlahkan estetika Japandi menerusi pemilihan meja dan kerusi makan kayu yang sering dilihat pada rumah-rumah di Jepun.

Sebagai penyeri ruang pula, bingkai gambar rona putih dengan motif ringkas diletakkan pada dinding ruangan itu, menyerlah elemen moden.

Bagi ruangan dapur bujangnya, Mohammad Iman memilih konsep minimalis dengan mengekalkan palet warna putih dan kecoklatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN