APABILA menghias rumah, cita rasa peribadi pemilik kediaman sering menjadi elemen yang paling dipertimbangkan.
Hal ini kerana rumah menjadi tempat melepas lelah dan hiasan yang diterjemah haruslah menjadikan penghuninya tenang bagi menghabiskan masa di kediaman sendiri.
Bagi Farah Hasunah Mohd. Radzi, 32, konsep hiasan yang kian popular kini, Japandi menjadi pilihan hati dia dan suami.
Kongsi Farah, selain cantik dan kemas, barangan hiasan rumah berkonsepkan Japandi juga baginya cukup mudah dicari dan disuai padan barangan hiasan lain.
“Saya beranggapan bahawa agak mudah untuk mencari barangan hiasan dengan elemen Japandi ini.
“Elemen Japandi banyak menggunakan barangan hiasan atau pun perabot daripada kayu yang mudah dipadan dengan barangan lain.
“Selain itu, barangan kayu khususnya daripada rona coklat cair itu tampak comel di mata saya,” ungkapnya kepada K2.
Saat melangkah masuk ke kediaman Farah yang terletak di Kajang, Selangor itu, rona putih lembut menerpa anak mata dan mencipta suasana yang menenangkan.
Rona putih yang digabungkan bersama perabot rona coklat lembut pula menyerlah elemen Japandi yang menjadi tema kediaman itu.
Farah memilih sebuah sofa panjang untuk diletakkan di ruangan itu yang dipadankan dengan permaidani polos rona senada.

Bagi mengelak gabungan tersebut tampak terlalu mendatar, ibu kepada dua orang cahaya mata itu meletakkan bantal kusyen bercorak bagi menambah seri ruang.
Menjengah ke ruang makan keluarga, elemen Japandi semakin terserlah menerusi pemilihan kerusi makan daripada material kayu yang dipadankan dengan lampu gantung juga daripada material sama.
Ujar Farah, ruangan itu juga merupakan ruang paling disukainya dalam rumah tersebut.
“Semua orang mempunyai ruang kegemaran dalam rumah dan jika ditanya kepada saya, ini merupakan ruang yang paling saya sukai dalam rumah ini.
“Di sinilah kami anak beranak banyak menghabiskan masa untuk makan dan berbual,” katanya.
Apa yang menjadikan ruangan itu menarik adalah sudut dinding berbentuk lengkungan yang juga berfungsi sebagai ruang menyimpan barang.
Biarpun ringkas, namun sudut itu menjadikan ruang makan kediaman tampak lebih berkarakter.
Ruang dapur kediaman pula dihias ringkas bagi menjadikan ia tampak bersih dan mudah dikemas.
Kongsi Farah lagi, dapur tersebut boleh dianggap sebagai dapur bajet memandangkan dia hanya menghabiskan sekitar RM1,500 bagi membeli perabot dan menghiasnya sesuai dengan konsep pilihan.














